Situasi kembali ‘meriah’ menjelang pertembungan kedua JDT dan KDA FC esok!

1,762

Pertembungan antara pasukan utara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan selatan Johor Darul Ta’zim (JDT) sering menjadi perhatian ramai bukan sahaja membabitkan penyokong kedua-dua pasukan, tetapi juga penyokong lain yang turut serta.

Perseteruan kedua-dua pasukan ini bukan sahaja dapat dilihat di atas padang sahaja tetapi juga di luar padang terutamanya membabitkan dua figura utama dalam pasukan masing-masing.


Kedua-dua figura itu sudah semestinya Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan juga pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris.

Ada yang melihat ‘perang’ antara kedua-dua figura ini adalah untuk mempromosikan perlawanan antara KDA dan JDT, namun perbalahan serta berbalas kenyataan juga menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak.

Baru-baru ini ketika perlawanan Liga Super membabitkan kedua-dua pasukan di Stadium Darul Aman menyaksikan perlawanan menjadi panas dengan beberapa insiden termasuk kad merah kepada penyerang utama JDT, Bergson da Silva selepas menumbuk pemain pertahanan KDA.

Walaupun tewas 1-3 di laman sendiri, namun Sanusi menerima kekalahan itu dengan profesional apabila mengucapkan tahniah kepada JDT, namun disebalik ucapan itu beliau turut menyelitkan ayat berunsur sindiran.

Terbaru, Sanusi dalam kenyataan medianya telah memberitahu bahawa beliau tidak akan berdiam diri apabila TMJ meminta pemilik KDA iaitu Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar memberikan nasihat kepadanya yang disifatkan sebagai seorang pemecah belah dalam kalangan peminat bola sepak selain meminta Sanusi tidak membawa imej seperti ‘Badut’.

Dalam kenyataan Sanusi, beliau turut berkata kepada TMJ apakah perasaan baginda sekiranya beliau berkata anda (TMJ) lanun bola sepak.

Susulan kenyataan itu, pengurusan JDT tidak menunggu lama untuk memberi reaksi terhadap persoalan Sanusi apabila telah mengeluarkan baju keluaran khas ‘Lanun Bola’.

Walaupun ramai yang menganggap perseteruan antara kedua-dua figura ini sebagai lucu dan seakan-akan keanak-anakan, namun ia membuatkan lebih ramai memberi perhatian sekaligus menjadi perlawanan antara kedua-dua pasukan itu paling dinanti-nantikan walaupun KDA bukanlah pencabar utama liga pada musim ini.

Semalam tular sebuah video di TikTok yang memaparkan tangkap layar pengguna media sosial yang bertanya kepada Sanusi; ‘MB tak post pasal game tadi ke?(merujuk kepada perlawanan KDA menentang Negeri Sembilan FC). Takkan koyak kot’.

Pertanyaan itu dijawab oleh Sanusi dengan nada sinir; ‘Ambil masa untuk ingi ke Nabi pulak.’ (Merujuk kepada hari Maulidur Rasul yang jatuh pada 8 Oktober).

Perbalahan antara penyokong kedua-dua pasukan hanya berlaku di media sosial sahaja kerana apabila mereka bertemu di stadium kedua-dua penyokong saling hormat menghormati dan ia telah pun terbukti pada perlawanan 4 Oktober lalu di Kedah.

JDT dan KDA akan bertemu sekali lagi dalam perlawanan Liga Super yang akan berlangsung esok 11 Oktober di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Adakah JDT akan sekali lagi mudah membenam KDA di tempat sendiri sekaligus menghadiahkan kekalahan keempat berturut-turut buat anak buah Aidil Sharin Sahak?

Atau Sang Kenari akan terbang tinggi di SSI dan lebur rekod tanpa kalah JDT pada musim ini? Sama-sama kita tunggu.