MFL tutup pintu buat pemain Melaka United sertai Piala Malaysia, ramai pemain mungkin bakal angkat kaki
Seperti yang diketahui, Melaka United FC tidak layak untuk beraksi pada kejohanan Piala Malaysia musim ini selepas Malaysian Football League (MFL) melarang pasukan itu disebabkan masalah tunggakan gaji.
Simpati dengan nasib para pemain, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) meminta MFL untuk mempertimbangkan kelonggaran buat pemain bagi membolehkan mereka beraksi dengan pasukan lain.
Namun, MFL turut menolak cadangan itu kerana peraturan yang tidak membenarkan penambahan pemain bagi kejohanan itu, seperti laporan New Straits Times.
Ketegasan MFL dalam isu itu dilihat wajar kerana ia boleh menjejaskan reputasi badan itu sekiranya peraturan sedia ada dilanggar begitu sahaja
Namun mungkin MFL boleh melakukan perbincangan dengan rakan-rakan kongsi terlebih dahulu kerana mungkin banyak pasukan yang berhasrat untuk memperkuatkan pasukan mereka dan memberi peluang kepada pemain-pemain Melaka United beraksi dalam kejohanan itu.
Pengecualian khusus mungkin boleh dilakukan supaya mereka masih boleh beraksi dalam perlawanan kompetitif, kerana tidak pasti sama ada mereka akan terus bersama Melaka United lagi atau tidak musim depan.
Namun segala-galanya sudah ditetapkan dan sikap tidak bertanggungjawab pihak pengurusan akhirnya merugikan para pemain.
Ketika ini, sudah tentu motivasi pemain berada di tahap yang rendah selepas musim mereka terpaksa ditamatkan dengan lebih awal.
Malah tidak mustahil terdapat pemain sudah berkira-kira untuk berpindah ke pasukan lain musim depan.
Antara yang mungkin angkat kaki adalah pemain-pemain import yang sudah tidak kelihatan dalam beberapa perlawanan terakhir pasukan.
Bukan itu saja, pasukan-pasukan lain juga sudah tentu ada yang sedang menyasarkan beberapa pemain Melaka United untuk disambar bagi saingan musim depan.
Sekiranya masalah tunggakan gaji ini masih belum selesai sehingga hujung musim, kemungkinan ramai pemain pasukan itu bakal berhijrah dan Melaka United bakal tampil dengan ramai muka baru musim depan.