PRU-15 mampu beri kesan besar terhadap sukan negara, pihak berwajib harus bersiap sedia segala kemungkinan
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi baru sahaja mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 10 Oktober 2022.
Ini bermakna, Pilihan Raya Umum (PRU) harus diadakan dalam tempoh 60 hari dari hari ini, iaitu selewat-lewatnya 9 Disember 2023.
Pengumuman ini pasti juga memberi kesan besar terhadap kalendar sukan negara yang sibuk pada hujung tahun ini.
Antara yang bakal berlangsung dalam tempoh 60 hari ini adalah Piala Malaysia yang akan membuka tirai pada 25 Oktober hingga 26 November.
Selain itu, Piala AFF pula akan bermula pada 20 Disember depan, dan sudah tentu pemain-pemain akan dipanggil ke kem latihan lebih awal.
Kejohanan badminton BWF World Tour pula bakal bermula pada 14 Disember dan para pemain juga pastinya melakukan persediaan lebih awal daripada itu.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru sahaja mengumumkan Bajet 2023 yang turut termasuk peruntukan untuk sukan sebanyak RM332 juta.
Sekiranya kerajaan bertukar selepas PRU-15, kemungkinan besar terdapat rombakan terhadap bajet tersebut sama ada dikurangkan, dikekalkan atau ditambah.
Bukan itu saja, kejohanan bola sepak terbesar, Piala Dunia Qatar juga bakal bermula pada 20 November ini.
Walaupun Malaysia tidak layak beraksi di kejohanan itu, penganjuran PRU-15 ketika Piala Dunia berlangsung juga mampu mengganggu fokus orang ramai terhadap kempen pilihan raya.
Bagi peminat fanatik bola sepak, mereka sudah tentu tidak mahu terlepas aksi Piala Dunia yang hanya tiba empat tahun sekali.
Mungkin juga lebih baik sekiranya PRU-15 dilangsungkan sebelum sepak mula Piala Dunia Qatar supaya kejohanan itu tidak membayangi kehangatan kempen pilihan raya.
Sementara itu, badan-badan sukan seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) harus bersedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya terdapat kejohanan yang bertembung atau hampir dengan tarikh PRU-15.
Sudah tentu peminat-peminat tidak mahu kelancaran kejohanan Piala Malaysia terganggu kerana ia mampu memberi kesan kepada pasukan-pasukan yang bertanding serta persiapan skuad negara ke kejohanan Piala AFF.