Muhammad Taqi terpilih sebagai pengadil VAR di Piala Dunia, bukti mutu pengadilan Liga Singapura jauh lebih baik
Pada Piala Dunia Qatar yang akan berlangsung bulan depan, seorang pegawai perlawan yang berasal dari Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari Jahari bakal terlibat dalam kejohanan itu sebagai salah seorang Video Match Official (VMO).
Pencapaian itu adalah satu perkara yang amat membanggakan kerana ia menunjukkan bahawa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mempunyai kepercayaan kepada pengadil di negara berkenaan untuk menggalas tanggungjawab di kejohanan terulung itu.
Beliau menjadi individu kelima dari negara itu yang terpilih sebagai pegawai perlawanan di Piala Dunia.
Sudah tentu kejayaan Taqi terpilih mengadili di kejohanan itu dibantu dengan implementasi teknologi Video Assistant Referee (VAR) di Liga Singapura.
Sejak hujung tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) sudah memulakan usaha untuk memperkenalkan teknologi VAR dan mungkin teknologi itu akan mula digunakan pada musim akan datang.
Walaupun dari segi ranking Liga Malaysia berada di tahap yang jauh lebih tinggi daripada Liga Singapura, usaha negara itu untuk mempertingkatkan kualiti pengadilannya harus dicontohi.
Dengan isu mutu pengadilan yang boleh dikatakan setiap musim timbul, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) harus mempertimbangkan perkara ini dengan serius.
Sudah lama nampaknya Malaysia tidak mempunyai ‘wakil’ ke Piala Dunia, kali terakhir adalah Subkhidin Mohd Salleh pada Piala Dunia 2010.
Ini menunjukkan bahawa kualiti pengadilan di negara ini semakin menurun dan ia harus diberi perhatian.
Sudah tiba masanya FAM melakukan sesuatu bagi meningkatkan semula mutu pengadilan di negara ini termasuklah memperkenalkan kursus VAR kepada pengadil tempatan sebagai persediaan.