Osmera Omaro mahu buat persiapan rapi sebelum ke Piala Asia B-17 2023

3,901

Ketua jurualatih skuad B-16 kebangsaan, Osmera Omaro mahu terus membimbing skuad Harimau Muda selepas berjaya membawa skuad negara layak ke Piala Asia B-17 2023 selepas membelasah Indonesia 5-1 sekaligus menjadi juara Kumpulan B dalam pusingan kelayakan.

Menurut Osmera, beliau mahu memastikan skuad B-16 membuat persiapan rapi sebelum menghadapi kejohanan tersebut yang bakal berlangsung pada bulan Mei 2023.


“Jika saya dilantik (terus diberi kepercayaan untuk kendalikan skuad B-16), kita akan cuba buat yang terbaik sebab kalau kita tengok 16 pasukan yang layak tiada perlawanan mudah bakal menanti kita.

Maksudnya semua perlawanan mencabar dan memerlukan persiapan yang lebih rapi, perlu buat lebih banyak kerja dan kalau kita tengok masa pun bukanlah terlalu panjang,”

katanya.

Beliau yang juga merupakan jurulatih di Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) juga berkata kejayaan skuadnya bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Dari segi persembahan sejujurnya ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Mungkin ramai yang teruja dengan kemenangan ini mungkin sebab mereka lihat prestasi kami di Piala AFF kita seakan tak berjaya, tapi ramai yang sebenarnya tidak lihat dengan lebih lanjut apa yang berlaku di sana.”

Tambahnya lagi, ketika di kejohanan tersebut skuad bimbingannya tidak pernah kalah dalam satu perlawanan pun, malah mereka mendominasi kesemua perlawanan tersebut, cuma malangnya mereka gagal menjaringkan gol.

Dalam pada itu, Osmera juga enggan mengambil kredit atas kejayaan skuad negara sebaliknya berkata kejayaan ini adalah hasil kerjasama banyak pihak.

“Terima kasih kepada semua pemain, barisan kejurulatihan, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Christopher Raj kerana memberi saya peluang, MSN, NFDP, AMD, JDT dan kesemua pasukan yang pernah menyumbang.

Semua orang tahu kejayaan ini bukanlah kerja seorang atau satu pasukan tetapi adalah satu proses yang makan masa lama daripada jurulatih melatih mereka dari kecil sehinggalah ke sekarang ini.”

Beliau pada masa sama turut mengucapkan terima kasih kepada tiga bekas Pengarah Teknikal NFDP dan AMD iaitu Saad Ichalalene, Dennis Bekking dan Abdi Hassan yang merupakan individu penting dalam pembangunan pemain-pemain.

Sementara itu, beliau juga berkata agak sukar untuknya mengulas lanjut mengenai tindakan Majlis Sukan Negara (MSN) yang mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Saad, Dennis dan Abdi.

Osmera mengakui kehadiran ketiga-tiga individu ini telah berjaya mengubah eko sistem bola sepak pembangunan negara.

Beliau bagaimanapun perlu menghormati keputusan MSN kerana yakin mereka tahu apa yang mereka buat selain mempunyai perancangan mereka tersendiri dan berharap semua pihak dapat sekali lagi memberi kepercayaan kepada mereka.