Hasnizam mahu anaknya Aisy Al-Hakim terus kekal di AMD buat masa ini

4,406

Bapa kepada pemain skuad B-16 kebangsaan Muhammad Aisy Al-Hakim, Hasnizam Uzir mahu anaknya itu kekal di Akademi Mohktar Dahari (AMD) buat masa ini sebelum fikir berhijrah.

“Setakat ini tiada perancangan untuk masa depan Aisy lagi kerana ketika ini beliau masih bersama AMD, jadi biarlah dia berada di situ kerana di situ banyak persediaan dilakukan dan saya mahu dia terus belajar kerana dalam bola sepak kita perlu belajar setiap hari,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hasnizam yang juga merupakan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) mengakui pasukan pencari bakat JDT pernah mengintai anaknya itu ketika berusia lapan tahun, namun anaknya itu memilih AMD sebagai destinasinya.


Tambahnya lagi, sebagai bapa beliau hanya boleh membimbing sahaja dan akan membiarkan anaknya itu sendiri membuat keputusan mengenai hala tujunya.

Dalam pada itu, Aisy pula berkata beliau belum memikirkan soal mahu berhijrah lagi kerana mahu fokus pada kariernya di AMD buat masa ini.

Menurut Aisy, selepas berjaya membantu skuad B-16 layak ke Piala Asia B-17 pada tahun hadapan, beliau mahu bantu pasukan untuk layak ke Piala Dunia pula selepas ini.

“Sasaran saya selepas Piala Asia B-17 nanti adalah mahu bantu skuad negara layak ke Piala Dunia pula.”

Sementara itu, Aisy juga berkata beliau akan terus memegang kata-kata ayahnya untuk terus bekerja keras dan sentiasa memberikan yang terbaik.

“Ayah nasihat supaya terus bekerja keras walaupun tidak dapat main kerana itu adalah perkara nombor dua kerana kerja keras adalah paling utama.”