Muka baru sudah kelihatan dalam sesi latihan, transformasi Perak FC di bawah LTK sudah bermula

6,149

Sejak Lim Teong Kim diumumkan sebagai ketua jurulatih Perak FC yang baru bulan lalu, beliau tidak menunggu lama untuk melakukan perubahan dalam pasukan.

Walaupun musim ini sudah tamat buat Perak selepas gagal melayakkan diri ke saingan Piala Malaysia, pasukan itu dilihat tetap bersemangat menjalani latihan di bawah Teong Kim.


Beliau juga sudah mula menerapkan gaya permainan baru yang lebih agresif dan moden ke dalam pasukan Perak.

Selain itu, Teong Kim dilihat sudah melakukan proses rombakan pasukan sedikit demi sedikit apabila terdapat beberapa muka baru turut terlihat dalam sesi latihan pasukan.

Dalam sesi latihan terbaru pasukan itu, terdapat dua pemain yang menarik perhatian para penyokong iaitu seorang penjaga gol dan seorang pemain baru yang menyarung jersi bernombor 89 milik pemain import, Stipe Plazibat.

Penjaga gol tersebut merupakan anak kepada penjaga gol legenda Perak, Wong Kam Fook yang juga salah seorang daripada skuad Olimpik 1972 negara.

Oscar sebelum ini pernah beraksi bersama Melaka United FC, Selangor FC 2 dan Harini FT.

Manakala identiti pemain yang menyarung jersi Plazibat itu pula masih menjadi tanda tanya.

Kelibat bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin juga tidak kelihatan ketika sesi latihan terbaru pasukan itu.

Jika Indra betul-betul sudah tiada dalam skuad Teong Kim, ini bermakna beliau memang betul-betul mahu membangunkan semula Perak dengan pemain-pemain muda seperti yang pernah beliau suarakan sebelum ini.

Beliau juga sebelum ini telah membawa bekas pembantu beliau ketika melatih skuad B-16 negara iaitu Raja Azlan Shah ke dalam barisan kejurulatihan.

Dengan segala persiapan dan perubahan yang telah dilakukan oleh Teong Kim bagi menghadapi musim depan, tidak mustahil Perak mampu melakukan kejutan dan berada di kelompok teratas Liga Super musim depan.

Ini sudah tentunya satu permulaan dan lebih banyak perubahan dijangka dilakukan oleh pengendali berusia 59 tahun itu menjelang musim depan.