Kelab terawal lancarkan pas bermusim 2023, aura penyokong Kelantan FC bakal hangatkan Liga Super

1,225

Belum lagi tamat musim 2022, Kelantan FC nampaknya sudah bersiap sedia untuk menyambut penyokong setia mereka pada musim depan dengan melancarkan pas bermusim untuk 2023.

Pasukan itu secara rasminya telah melancarkan pas tersebut pada 7 Oktober lalu dengan peruntukan sebanyak 10,480.


Terdapat lima kategori pas yang dijual iaitu Membership, Premier, Platinum, Superb dan Couple VIP, dengan harga yang paling murah adalah RM93 dan paling mahal RM4,093 untuk dua orang.

Sehingga semalam, sebanyak 718 keping pas sudah terjual terdiri dari semua kategori, dan jumlah itu dijangka terus meningkat dari hari ke hari.

Musim ini, Kelantan adalah pasukan Liga Perdana yang mempunyai kehadiran penyokong ke stadium paling banyak, malah melebihi kebanyakan pasukan Liga Super.

Sambutan yang diterima ini menunjukkan kepercayaan para penyokong terhadap pasukan itu yang telah lama berada di ‘zaman kegelapan’ mereka sebelum ini.

Pujian tentunya harus diberikan kepada pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham kerana berjaya menarik semula para penyokong untuk datang ke stadium.

Sudah banyak inisiatif yang dilakukan Zamsaham dalam membawa perubahan dalam pasukan itu bagi mengembalikan era kegemilangan Kelantan.

Baru-baru ini juga, beliau telah melancarkan jenama kafenya sendiri iaitu LAS Coffee dengan pembukaan cawangan pertamanya di Larkin Sentral, Johor Bahru.

Ini pastinya salah satu daripada cabang perniagaan yang bakal memperkukuhkan lagi kantung kewangan pasukan Kelantan.

Selepas saingan Liga Perdana tamat, Kelantan kini sedang menanti sepak mula Piala Malaysia yang dijadualkan pada 25 Oktober ini, di mana mereka bakal berdepan pasukan yang berada di tangga kesepuluh Liga Super.

Walaupun perlawanan terakhir liga telah tamat pada 30 September lalu, para pemain tetap gigih meneruskan latihan  bagi mempersiapkan diri menjelang Piala Malaysia.

Begitupun mereka berstatus pasukan Liga Perdana, kemampuan pasukan itu untuk mencipta kejutan tidak boleh dipandang rendah.