Selain Chanathip, Nguyen Quang Hai juga mungkin tidak sertai Piala AFF, peluang terbaik Malaysia melangkah ke final

1,019

Kejohanan Piala AFF 2022 yang dijadualkan pada 20 Disember 2022 hingga 16 Januari 2023 ini nampaknya akan berlangsung tanpa kelibat beberapa pemain terbaik Asia Tenggara.

Pemain terbaik edisi lalu, Chanathip Songkrasin sah tidak akan menyertai kejohanan tahun ini selepas beliau membuat keputusan untuk berehat selepas liga Jepun tamat.


Bintang Kawasaki Frontale itu berkata, beliau mahu mendapatkan rehat yang cukup bagi memastikan dirinya kekal cergas untuk musim berikutnya.

Baru-baru ini pula, pemain Vietnam, Nguyen Quang Hai pula berdepan risiko tidak dapat beraksi pada Piala AFF 2022.

Ini kerana, kejohanan tersebut berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), dan kemungkinan kelabnya, Pau FC yang beraksi dalam Ligue 2 tidak akan memberi pelepasan.

Tambahan pula, pemain berusia 25 tahun itu kini dilihat sudah semakin serasi dengan pasukan dan dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan di liga tersebut.

Beliau juga baru sahaja menjaringkan gol pertama buat kelab itu baru-baru ini, dan menjadi pemain Vietnam pertama yang menjaringkan gol untuk kelab Ligue 2.

Ramai juga pihak di negara itu yang mahukan Quang Hai melupakan saja Piala AFF dan menumpukan sepenuhnya fokus untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pasukan.

Mereka bimbang sekiranya pemain itu pulang bagi menyertai skuad kebangsaan untuk ke Piala AFF, momentum yang telah dibina bersama pasukan tidak akan dapat diteruskan apabila beliau kembali ke Perancis.

Dengan ketiadaan mereka berdua, ia ibarat satu ‘rahmat’ buat pasukan lain terutama Malaysia bagi memberi cabaran kepada kedua-dua pasukan pilihan itu kerana mereka merupakan senjata yang penting buat pasukan tersebut.

Justeru, Malaysia harus memanfaatkan peluang ini sekurang-kurangnya untuk melangkah ke perlawanan akhir.

Ini juga adalah peluang untuk Malaysia menamatkan ‘badi’ dengan pasukan Vietnam yang sering kali menewaskan pasukan negara setiap kali bertemu.

Sekiranya Quang Hai tidak turut serta, Malaysia juga boleh menarik nafas lega kerana pemain itu sering mengucar-kacirkan barisan pertahanan negara dan pernah mencatat dua gol menentang Malaysia, pertama ketika kempen kelayakan Piala Dunia 2022 pada tahun 2019, serta Piala AFF yang lalu.