Berlatih dengan Viktor Axelsen dan Anders Antonsen di Denmark, masa Lee Zii Jia bangkit dengan sentuhan emas
Pemain nombor tiga dunia, Lee Zii Jia ketika ini sedang berada di Denmark bagi menjalani latihan menjelang dua kejohanan iaitu Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis bulan ini.
Beliau akan berlatih bersama dua bintang badminton negara itu iaitu pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen dan rakannya, Anders Antonsen yang berada di ranking kedua dunia.
Menerusi beberapa gambar di media sosial, keberadaannya di negara itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat badminton tempatan.
Beliau turut mengadakan sesi tandatangan bersama peminat di sebuah kelab badminton tempatan, Hvidovre Badminton Club.
Keputusannya untuk berlatih di Denmark ini pastinya akan memberi manfaat yang amat besar kerana beliau mempunyai rakan sepelatih yang setaraf iaitu Axelsen dan Antonsen.
Berdasarkan ranking, hanya dua pemain itu sahaja yang boleh dikatakan lebih hebat daripada dirinya, justeru sudah tentu banyak perkara yang dapat diperbaiki menjelang kejohanan tersebut.
Sebelum ini juga, terdapat pihak yang menyuarakan isu bahawa beliau tidak mempunyai rakan sepelatih yang setaraf, yang menjadi salah satu penyebab sukar untuknya meingkatkan prestasi.
Ini juga peluang buat Zii Jia meraih sebanyak mana ilmu dan pengalaman bagi meningkatkan prestasi dirinya selepas pulang awal dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Pada hujung tahun ini, beliau bakal membawa cabaran negara dalam kejohanan BWF World Tour Finals, justeru peningkatan prestasinya amatlah diharapkan oleh seluruh peminat badminton tempatan.