Indonesia masih ada harapan layak ke Piala Asia B-17 dengan cara bida jadi tuan rumah
Kegagalan layak ke Piala Asia B-17 nampaknya masih lagi dirasai oleh peminat bola sepak Indonesia terutamanya ia berpunca daripada kekalahan memalukan 5-1 kepada Malaysia.
Indonesia menduduki tangga ketujuh dalam ranking pasukan kedua terbaik, kurang satu perbezaan jaringan berbanding pasukan di tangga keenam iaitu Laos.
Ketika ini, lokasi pusingan akhir Piala Asia B-17 masih belum ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas Bahrain menolak untuk menjadi tuan rumah.
Kemungkinan besar, AFC akan memilih salah satu daripada 16 pasukan yang telah layak ke kejohanan itu, tetapi tidak mustahil badan itu akan mempertimbangkan permohonan dari negara lain sekiranya tiada negara yang bersedia untuk menganjurkannya.
Tidak mustahil juga Indonesia boleh menawarkan diri untuk menganjurkan kejohanan itu.
Negara itu bakal menganjurkan Piala Dunia B-20 yang akan berlangsung pada 20 Mei hingga 11 Jun 2023, jadi dari segi fasiliti serta persiapan mereka sememangnya sudah bersedia.
Cuma yang menjadi penghalang mungkin tarikh kejohanan Piala Asia B-17 yang telah ditetapkan pada 3 hingga 20 Mei 2023.
Tetapi segala-galanya boleh berlaku sekiranya terdapat perbincangan bersama pihak AFC.
Perkara itu bagaimanapun mungkin tidak disenangi oleh Laos yang mungkin akan ‘dikorbankan’ sekiranya Indonesia diberi peluang untuk menganjurkan kejohanan itu.
Dalam pada itu, skuad B-17 Indonesia dilaporkan telah ‘dibubarkan’ setelah kegagalan layak ke kejohanan itu, dan digantikan dengan barisan pemain lain yang lebih muda.
Ketua jurulatih skuad B-17 Indonesia, Bima Sakti diberi tanggungjawab untuk mempersiapkan skuad baru itu untuk ke Asian Youth Game 2022.
Namun, sekiranya Indonesia berjaya mendapatkan hak untuk menganjurkan Piala Asia B-17, mungkin ‘pembubaran’ itu akan ditarik semula.