Kami terpaksa main final Piala AFC di SNBJ kerana Stadium Cheras tidak penuhi kriteria VAR – Bojan Hodak

787

Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak mengakui pasukannya terpaksa bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk perlawanan akhir Piala AFC kerana Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tidak memenuhi kriteria menganjurkan aksi tersebut.

Menurutnya, Stadium Cheras tidak mempunyai lampu dengan kekuatan 1,800 lux yang diperlukan untuk teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) seperti yang ditetapkan oleh pihak AFC.


“Kami perlu main di SNBJ kerana perlu gunakan VAR, di mana perlu ada lampu 1,800 lux di dalam stadium yang tidak terdapat di Cheras.

Semua pemain dan jurulatih mahu bermain di Cheras kerana sudah biasa dengan stadium ini tetapi disebabkan isu teknikal kami harus bermain di SNBJ,”

katanya.

Beliau juga berkata, wang yang diperoleh daripada kejohanan Piala AFC harus diperuntukkan sebahagian kepada para pemain yang telah menunjukkan kesungguhan mereka.

KL City bakal menentang kelab Oman, Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC pada 22 Oktober ini

Dalam pada itu, Hodak berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan bekas bosnya, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan berkata orang ramai yang mereka cerita negatif mengenai hubungan mereka.

“Baginda memang sentiasa hantar mesej kepada saya dan Stanley Bernard (ketua pegawai eksekutif KL City), antara kami semuanya baik-baik sahaja, cuma ramai orang yang mereka cerita negatif dan berkata bukan-bukan.

Pada hari ini semua orang boleh memberi pandangan di sosial media tetapi mereka sebenarnya tidak tahu apa yang berlaku di sebalik tabir.”

Beliau berkata demikian mengenai perbualannya dalam aplikasi Whatsapp dengan TMJ yang dimuatnaik oleh baginda di Instastory baru-baru ini.

Menurutnya, ramai orang yang bercakap perkara yang tidak benar mengenai hubungan mereka dan perkara itu adalah biasa dalam dunia sosial media.