Ini bukan perkara baru, saya juga pernah terima kata-kata perkauman ketika berkunjung ke Melaka – Tchetche Kipre

823

Kapten Terengganu FC, Tchetche Kipre kesal dengan kata-kata perkauman yang ditujukan kepada rakan sepasukannya, Pape Diakite oleh penyokong Melaka United FC dalam perlawanan Liga Super baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau mengakui pernah berdepan dengan situasi sama ketika berkunjung ke Stadium Hang Jebat sebelum ini.


“Saya rasa kasihan kepada beliau kerana ini kali pertama beliau datang ke negara ini, ia bukanlah perkara yang selalu berlaku tetapi ada sebahagian penyokong yang tidak sedar apa yang mereka cakap boleh memberi kesan kepada pemain.

Ini bukanlah benda baru buat saya kerana sebelum ini, setiap kali saya bermain di Melaka saya juga merasai perkara yang sama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, beliau hanya fokus terhadap tugas beliau di padang dan menghiraukan kata-kata perkauman yang dilontarkan oleh penyokong.

Dalam pada itu, Diakite berkata bahawa beliau kecewa dengan serangan perkauman terhadapnya tetapi mengakui sudah melupakan perkara itu.

Beliau berkata, hanya sebilangan warga negara ini yang bersikap demikian dan kebanyakannya tidak seperti itu.

“Isu perkauman ini berlaku di seluruh dunia bukan di Malaysia sahaja, saya tahu orang Malaysia bukan begitu dan hanya sebahagian orang sahaja yang bersikap sedemikian.

Apabila perkara itu berlaku kepada saya, saya perlu suarakannya supaya pemain yang berkunjung ke situ selepas ini boleh hentikannya.”

Dalam pada itu, kedua-duanya bertekad mahu memastikan Terengganu layak ke saingan Piala AFC dengan memberikan segala-galanya dalam perlawanan terakhir menentang Kedah Darul Aman.

Terengganu ketika ini berada di kedudukan ketiga Liga Super, dipisahkan satu mata di belakang Sabah FC dan mempunyai kelebihan jaringan berbanding Negeri Sembilan FC yang berada di tangga keempat.