Pemain, jurulatih Perak FC akan diberi peluang berlatih di Wolfsburg melalui kerjasama dua hala
Pemain dan jurulatih Perak FC bakal mendapat peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman di Jerman melalui kerjasama antara pasukan itu dan juga kelab Bundesliga, Wolfsburg.
Perkara itu disuarakan oleh pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi ketika majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara kedua-dua kelab itu hari ini.
“Jurulatih dan pemain kita yang pergi ke sana untuk berlatih atau pihak Wolfsburg yang datang ke sini ketika pra-musim.
Ini adalah pertukaran teknologi (transfer of technologies) yang merupakan salah satu daripada tiga tiang kerjasama ini,”
katanya.
Menurut Azim dua lagi tiang kerjasama itu adalah perdagangan (merchandising) dan pembangunan pemain muda.
Dari segi perdagangan, Azim berkata, Perak akan menjual cenderahati kelab tersebut dan beliau turut melihat kepada potensi untuk Wolfsburg menjual cenderahati Perak.
Tambah Azim, Perak akan bekerjasama dengan Wolfsburg mengenai pembangunan belia dengan mendapatkan maklumbalas daripada mereka.
“Kita telah ada satu perancangan untuk pembangunan belia dan kita akan dapatkan pendapat pihak Wolfsburg sama ada ini merupakan satu perancangan yang mantap supaya kita dapat meneruskan apa yang kita rancang dengan lebih baik jika dibandingkan dengan akademi-akademi lain.”
Dalam pada itu, naib presiden Senior Wolfsburg, Andreas Kruse tidak menolak kemungkinan pihaknya akan membawa pemain Perak ke kelab itu untuk program pertukaran.
Apa yang penting ketika ini adalah pihaknya mahu meneroka dan membina kerjasama kukuh antara kedua-dua pasukan itu untuk masa depan.
Beliau berkata, Wolfsburg melihat Malaysia sebagai salah satu lokasi untuk memperluaskan lagi pengaruh bola sepaknya dan menganggap Perak sebagai rakan kerjasama yang mempunyai matlamat yang sama dengan kelab itu.
“Kami datang ke sini bukan hanya untuk tandatangani MoU tetapi juga untuk satu masa depan yang lebih baik.
Kami nampak Perak ini satu kelab yang bercita-cita tinggi seperti kami dan kami nampak potensi untuk bekerjasama dengan lebih lanjut pada masa depan.”
Menurutnya, kelab itu sedang mengembangkan lagi rakan bisnesnya di luar negara termasuk di rantau Asia Tenggara dan memilih Malaysia sebagai satu negara untuk tujuan itu.
Beliau mengakui mempunyai perasaan yang baik dengan kerjasama yang dilakukan ini.