Kami didatangi oleh wakil Wolfsburg untuk adakan kerjasama – Datuk Seri Azim Zabidi
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi mendedahkan bahawa kerjasama dengan kelab Bundesliga, Wolfsburg terhasil selepas wakil kelab Jerman itu datang kepada mereka beberapa bulan lalu.
Menurutnya, ketika itu pihaknya baru sahaja menyelesaikan pengambilalihan Perak dan selepas mendapati kedua-dua pasukan itu mempunyai persamaan, mereka mengambil keputusan untuk melakukan kerjasama tersebut.
“Selepas berbincang baru-baru ini kami adakan satu ketetapan selepas berbincang danmelihat banyak persamaan.
Dari segi pembangunan pemain muda kami lihat mereka adalah sebuah pasukan yang harus diteladani, mereka mementingkan pembangunan pemain muda,”
katanya.
Menurutnya, beliau percaya dengan pembangunan pemain muda yang diterapkan oleh kelab-kelab Jerman termasuklah Wolfsburg.
Katanya, misi selepas ini adalah untuk membangunkan pemain muda sehingga mencapai tahap profesional dan pihaknya akan mengumumkan mengenai pembangunan akar umbi pasukan dalam masa terdekat.
“Pembangunan adalah pengkhususan buat kelab mereka dan kita di Perak mahu bangunkan pemain dari peringkat bawah sehinggalah menjadi profesional.”
Beliau berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh kedua-dua pasukan itu akan tamat pada hujung 2023 namun melihat kepada lanjutan kerjasama pada masa depan.
Katanya, mempunyai tempoh masa untuk menyediakan rangka kerja terperinci yang akan diterjemahkan kepada persetujuan, mungkin untuk jangka masa lima tahun.
Dalam pada itu, ketua pegawai eksekutif Perak, Bobie Farid Shamsudin berkata kerjasama ini adalah untuk mempelajari cara menguruskan kelab bola sepak dengan baik seperti kelab-kelab besar Eropah.
Beliau berkata, sejak mengambil alih Perak, XOX Berhad sudah melakukan banyak transformasi kepada pasukan itu yang menunjukkan betapa seriusnya syarikat itu untuk mengembalikan zaman kegemilangan Perak.