Eksklusif: Indonesia tersingkir, Qatar 99.9% hampir pasti jadi tuan rumah Piala Asia 2023

2,223

Penantian negara manakah akan menjadi tuan rumah kejohanan Piala Asia 2023 bakal terjawab dalam tempoh beberapa hari lagi, namun berdasarkan situasi ketika ini, Qatar boleh dikatakan hampir pasti akan menjadi tuan rumah untuk edisi tahun 2023.

Walaupun masih belum ada sebarang pengesahan, namun berdasarkan satu sumber dalaman kepada Harimau Malaya, telah mendedahkan negara Timur Tengah tersebut sudah 99.9% akan menjadi tuan rumah, manakala peluang untuk dua negara lain yang membida iaitu Indonesia dan Korea Selatan sangat tipis, terutamanya negara jiran kepada Malaysia.


Pemilihan Qatar sebagai tuan rumah adalah satu keputusan yang mudah buat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana negara itu mempunyai infrastruktur yang cukup lengkap untuk menganjurkan sebarang kejohanan bola sepak.

Antara kelebihan utama yang ada pada negara itu adalah mereka merupakan tuan rumah untuk Piala Dunia 2022 sekaligus menjadi plus point paling besar kerana fasiliti yang dimiliki oleh mereka adalah bertaraf dunia.

Kewangan mereka juga sangat stabil termasuk mempunyai fasiliti keselamatan COVID-19 yang merupakan antara yang terbaik di dunia, jadi tidak keterlaluan jika hendak mengatakan Qatar adalah negara paling terbaik untuk menganjurkan kejohanan berprestij di Asia.

Pemilihan negara itu bukanlah sesuatu yang berat sebelah jika hendak dikatakan Presiden AFC sendiri, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, adalah dari Timur Tengah iaitu Bahrain, kerana mengikut perancangan awal China yang sepatutnya menjadi tuan rumah, namun mereka menarik diri dek pandemik COVID-19 yang masih membelenggu negara itu.

Jadi mengapa Indonesia mustahil untuk dipilih? Jawapannya sangat mudah iaitu insiden rusuhan yang berlaku di Stadium Kanjuruhan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 125 penyokong yang menyaksikan perlawanan Liga 1 Indonesia antara Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Tragedi hitam yang berlaku di Indonesia menjadi yang kedua terburuk dalam sejarah tragedy perlawanan bola sepak, jadi sudah pasti AFC memandang serius dengan apa yang berlaku dan perkara itu sahaja sudah pasti akan membuatkan negara itu tidak akan dipilih.

Bukan sahaja insiden rusuhan diambil kira, malah fasiliti stadium utama mereka yang juga merupakan antara stadium baru dan termahal di dunia, iaitu Jakarta International Stadium (JIS) juga tidak selamat apabila tembok stadium itu runtuh pada perlawanan persahabatan di antara Persija Jakarta menentang Chonburi FC pada bulan Julai lalu.

Mengambil kira situasi semasa di Indonesia, sudah pasti membuatkan pihak AFC tidak akan mengambil risiko untuk menganjurkan kejohanan itu di sana.

Dalam pada itu, Korea Selatan juga telah mengambil peluang untuk turut membida tuan rumah Piala Asia 2023 dengan mencadangkan beberapa stadium di luar ibu kota seperti Incheon, Hwaseong dan beberapa lagi.

Masalah utama yang membuatkan peluang mereka tipis adalah kerana lokasi yang dicadangkan tidak sesuai kerana bukan di bandar utama.

Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) juga telah meminta bantuan kumpulan K-Pop terkenal dunia, BTS, untuk melobi bagi pihak mereka untuk mencerahkan peluang mereka menjadi tuan rumah Piala Asia 2023, namun ia tampak sukar buat mereka.

Sebelum ini sebuah lagi negara iaitu Australia turut berminat apabila membida sebagai tuan rumah, namun pada September lalu mereka telah ambil keputusan untuk tarik diri dan antara faktor utama mungkin mempengaruhi keputusan itu adalah mereka akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan Piala Dunia Wanita 2023.

Mengikut perancangan asal, kejohanan Piala Asia 2023 yang sepatutnya berlangsung di China akan membuka tirai pada 16 Jun hingga 16 Julai.

Dengan Qatar hampir pasti dipilih sebagai tuan rumah, tarikh kejohanan itu mungkin akan dianjak kepada bulan November sama seperti kejohanan Piala Dunia pada tahun ini yang turut akan berlangsung pada bulan November kerana faktor cuaca.