Jadikan Stadium Cheras sebagai iktibar, MFL harus tingkatkan syarat lampu limpah untuk Liga Malaysia
Perlawanan akhir Piala AFC antara KL City FC dan Al Seeb minggu depan sah terpaksa dimainkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas stadium home wakil Malaysia itu, Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras tidak memenuhi kriteria untuk menganjurkan aksi tersebut.
Salah satu sebab adalah kerana lampu limpah di stadium tersebut tidak tidak mencapai 1,800 lux seperti yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Berdasarkan syarat tersebut, hanya dua stadium di negara ini iaitu SNBJ dan stadium Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim sahaja yang layak menganjurkan perlawanan itu.
Walaupun pada tahun 2019 Stadium Cheras menjadi venue bagi perlawanan akhir Piala AFC, badan tersebut nampaknya sudah meningkatkan syarat minimanya menyebabkan ia tidak layak untuk kali ini.
Untuk menganjurkan perlawanan Liga Malaysia pula, Malaysian Football League (MFL) menetapkan syarat minima kecerahan lampu limpah di tahap 1,200 lux.
Melihat kepada kecerahan minima yang ditetapkan oleh AFC ini, sudah tiba masanya MFL mengetatkan syarat kecerahan lampu limpah sebagai persediaan untuk pasukan-pasukan Malaysia dalam saingan AFC musim depan.
Menurut peraturan AFC, stadium bagi penganjuran perlawanan peringkat kumpulan dan pusingan kalah mati Piala AFC harus mempunyai kecerahan lampu limpah minima 1,400 lux.
Malaysia juga bakal mempunyai empat wakil dalam saingan AFC Champions League (ACL) bermula 2024 berdasarkan kuota 2+2, dengan peraturan bagi saingan itu lebih ketat, kemungkinan besar isu ini akan timbul lagi pada pada masa depan.
Selain itu, MFL juga harus bertegas dalam memastikan stadium atau padang berada dalam keadaan bersedia untuk menganjurkan sesuatu perlawanan.
Imbas kembali ketika perlawanan terakhir Liga Perdana antara Kelantan FC dan Kelantan United FC baru-baru ini yang berlangsung dalam keadaan gelap gara-gara lampu stadium yang malap.
Bagaimanakah perlawanan itu boleh diteruskan sedangkan sudah jelas ia tidak mencapai syarat minima?
Sekiranya kegagalan Stadium Cheras untuk menganjurkan perlawanan akhir Piala AFC tahun ini tidak dijadikan pengajaran, lebih banyak stadium di Malaysia akan ‘tersangkut’ selepas ini.