Harap pemain Sarawak United FC & Melaka United FC tak perlu tunggu 7 tahun untuk dapat tunggakan gaji
Semalam Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mengeluarkan satu khabar gembira apabila tunggakan bekas gaji pemain Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera Malaysia (PBATM) akhirnya selesai juga selepas tujuh tahun.
Berita gembira itu telah mengakhiri penderitaan pemain yang terkesan dengan isu tunggakan gaji yang bermula sejak tahun 2015 dan PBATM kemudian mula membuat pembayaran secara berperingkat pada tahun 2018.
Walaupun lambat, sudah pasti pemain atau pegawai yang terlibat berasa lega apabila segala tunggakan gaji sebelum ini sudah pun selesai.
TUNGGAKAN GAJI PBAT: PENANTIAN 7 TAHUN SELESAI
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) October 12, 2022
PFAM ingin merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia kerana telah menjelaskan tunggakan bayaran kepada bekas pemain yang bermula sejak tahun 2015. pic.twitter.com/8tXjwFGMBN
Namun kini, pemain dan pegawai pasukan Sarawak United FC dan Melaka United FC juga berdepan situasi sama apabila berdepan dengan masalah tunggakan gaji yang sehingga kini masih lagi belum selesai.
Kegagalan mereka untuk melangsaikan tunggakan gaji itu juga menjadi salah satu sebab kedua-dua pasukan itu gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan sekaligus tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super pada musim depan.
Keputusan itu telah dibuat selepas mesyuarat Pelesenan Kelab MFL (Malaysian Football League) First Instance Body (FIB).
Namun kedua-dua pasukan itu diberi ‘talian hayat’ untuk membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari atau sebelum 19 Oktober 2022 pada pukul 5.00 petang terhadap keputusan FIB itu.
Jika mereka ingin terus kekal dalam saingan Liga Malaysia, mereka perlu segera melunaskan segala tunggakan dan melengkapkan dokumen-dokumen berkaitan dalam tempoh yang telah ditetapkan itu.
Diharap kedua-dua pihak pengurusan pasukan Melaka United dan Sarawak United akan mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji kerana takkan mahu memaksa pemain dan pegawai menunggu dalam tempoh yang lama untuk mendapatkan hak mereka.
Kita tidak mahu perkara sama berlaku kepada pemain dan pegawai kedua-dua pasukan ini seperti yang berlaku pada pemain PBATM sebelum ini.
Sarawak United dan Melaka United perlu bersikap lebih prihatin kerana pemain dan pegawai juga adalah manusia biasa yang mempunyai pelbagai komitmen dan keluarga yang perlu disara, oleh itu tindakan pantas perlu dilakukan supaya ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.
Jangan biarkan mereka ‘digantung tak bertali’.