Stadium Darul Makmur bakal berwajah baru, namun 9 tuntutan EA sampai sekarang masih belum tertunai

3,841

Sudah lebih setahun berlalu sejak penyokong setia Sri Pahang FC, Elephant Army mengemukakan sembilan tuntutan kepada pihak kelab selepas prestasi buruk pasukan itu.

Antara salah satu tuntutan yang dikemukakan oleh pihaknya, Elephant Army ada menggesa pihak Sri Pahang supaya menyegerakan pembinaan pusat latihan baru dengan fasiliti serba lengkap seiring perkembangan bolasepak moden.


Kelab itu juga sebelum ini pernah mengumumkan rancangan untuk membina pusat latihan serba lengkap di Kuantan.

Namun, bayang-bayang pusat latihan itu sehingga sekarang masih belum nampak, manakala Stadium Darul Makmur yang merupakan home bagi Sri Pahang yang dilaporkan bakal berwajah baru.

Stadium yang berusia 49 tahun itu akan menjalani proses naik taraf fasiliti dan persekitarannya melibatkan peruntukan RM2.35 juta pada tahun depan.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Stadium kebanggaan rakyat negeri Pahang itu sudah lama tidak meriah dengan semangat dan gegaran suara penyokong setia Sri Pahang, Elephant Army yang seakan-akan merajuk selepas sembilan tuntutan mereka masih belum ditunaikan oleh pihak kelab.

Dengan kelab masih terumbang-ambing ketika ini, mungkin ada baiknya sekiranya kelab itu segera melunaskan tuntutan tersebut atau sekurang-kurangnya duduk berbincang dengan Elephant Army mengenai perkara itu.

Ketiadaan Elephant Army bersorak pada musim ini jelas memberi kesan kepada pasukan yang beraksi hambar dalam saingan Liga Super.

Bukan sahaja pemain Sri Pahang yang merindui sokongan padu oleh Elephant Army, penyokong lawan juga ada yang mengakui rindu akan semangat mereka.

Berita naik taraf Stadium Darul Makmur itu sudah pasti sedikit sebanyak menggembirakan pihak Sri Pahang, tetapi tanpa kelibat Elephant Army, stadium itu ibarat tiada aura.

Justeru, daripada memikirkan mengenai naik taraf stadium tersebut, eloklah Sri Pahang menaikkan prestasi pasukan bagi memuaskan hati penyokong setia mereka itu.