Kim Swee akui kredibiliti Bung Moktar selaku presiden, gembira Sabah FC berjaya capai KPI

317

Kedudukan presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar tidak dapat ditentukan buat masa ini selepas berlakunya perubahan di dalam politik di Malaysia.

Namun perkara tersebut tidak menjejaskan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee yang percaya bahawa tidak akan ada perubahan berskala besar terhadap pengurusan pasukannya buat masa ini.


Beliau juga gembira dengan perkara dan usaha yang telah dilakukan oleh presiden persatuan tersebut sepanjang mengambil alih kepimpinan SAFA.

“Saya rasa itu tidak menjadi persoalan sama sekali kerana Datuk Seri Bung merupakan presiden yang bertanggungjawab dan mengambil berat tentang pemain.

Apa sekalipun yang berlaku, beliau masih lagi kekal sebagai Presiden Sabah FC dan kita akan terus berkhidmat di bawah beliau sehingga kita dimaklumkan perkara berlainan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Kim Swee juga berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh anak buahnya sepanjang mengharungi musim ini.

Pasukan Sabah FC berjaya berada di tangga kedua Liga Super selama lebih kurang 13 minggu berturut-turut ekoran daripada aksi menyakinkan sepanjang musim.

“Kalau kita lihat daripada segi sasaran atau KPI yang diletakkan oleh pengurusan adalah untuk mengakhiri liga di kedudukan lima teratas, jadi kita sudah memenuhi KPI sebenarnya.

Namun setelah berada di tangga kedua selama lima bulan berturut-turut, saya percaya pemain sudah lakukan yang terbaik untuk berada di dalam kelompok empat terbaik musim ini kerana pasukan Sabah FC hanya mengumpulkan para pemain pada awal tahun ini.”

Dalam pada itu, pegendali berusia 52 tahun tersebut turut mengakui teruja dengan kehadiran semula rakan sejawatannya, Tan Cheng Hoe dan Lim Teong Kim ke dalam kancah bola sepak Malaysia.

Kedua-dua jurulatih tersebut bakal menjadi pesaing buat Kim Swee tatkala mereka bakal bertemu di dalam saingan Liga Super musim hadapan.

“Bagi saya sesiapa yang datang untuk melatih pasukan Liga Super sudah tentu akan memeriahkan lagi suasana dan persaingan.

Saya rasa ini penting untuk memperbaiki mutu liga kita dari semasa ke semasa.”           

Beliau juga percaya akan ada perubahan besar serta kesan yang positif bakal dihasilkan oleh kedua-dua jurulatih baru ini.

Sudah semestinya, saingan Liga Super musim depan akan menjadi lebih kompetitif dan menarik untuk disaksikan oleh semua peminat.

“Dengan kehadiran Tan Cheng Hoe terutamanya sudah tentu akan memberikan impak berlainan kepada pasukan Selangor.

Termasuk Lim Teong Kim yang sebelum ini melatih pasukan B-16 ataupun akademi kini beliau bersama pasukan senior, jadi itu satu petanda yang positif untuk Liga Super musim hadapan.”

Selepas selesai saingan liga, Kim Swee akan menyiapkan para pemainnya bagi mengharungi saingan Piala Malaysia yang akan bermula tidak lama lagi.