Park Tae-su mahu bersara di Sabah FC, harapan 100% untuk layak ke Piala AFC musim depan

1,396

Pemain import Sabah FC, Park Tae-su gembira bersama dengan keadaan semasanya bersama pasukan tersebut.

Import berasal dari Korea Selatan tersebut mula beraksi bersama Sabah FC pada tahun 2019 setelah dibawa masuk dari Hwaseong FC.


“Saya memang mahu berada di sini dan bersara di sini.

Ini adalah pasukan pertama yang saya wakili luar daripada negara saya jadi pasukan ini amat berharga buat saya dan saya sayang pasukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau optimis dengan peluang untuk Sabah FC meraih slot automatik ke Piala AFC tahun depan.

Tetapi mereka berdepan tugas sukar menanti mereka pada perlawanan penutup liga selepas dijadual bertemu gergasi Liga Super, Johor Darul Ta’zim FC. 

“Kami mesti menang dan kami mahu mendapat keputusan yang bagus.

Pasukan kami merupakan pencabar paling kuat dan harapan saya tinggi sangat untuk ke Asia, 100% untuk ke sana.”

Tae-su beraksi cemerlang musim ini selepas berulang kali muncul selaku wira untuk membawa kemenangan buat pasukan. 

Sepanjang 19 perlawanan, Tae-su telah berjaya menjaringkan lapan gol serta satu bantuan jaringan.

Malangnya, penjaring terbanyak pasukan Sabah FC tersebut tidak dapat diturunkan ekoran daripada penggantungan perlawanan serta sedikit kecederaan yang dialami.

“Saya sekarang cedera di bahagian buku lali serta memiliki enam kad kuning, jadi saya tidak dapat turun pada perlawanan menentang JDT.

Pasukan Sabah FC sekarang bersemangat tinggi dan ada motivasi untuk ke AFC, kami memang mahu ke Asia.”

Sokongan tanpa henti daripada para peminat skuad Sang Badak menjadi pembakar semangat buat Park dan rakan sepasukannya dalam memberikan aksi terbaik pada setiap perlawanan.

Peningkatan luar biasa pasukan Sabah FC musim ini dilihat turut terhasil daripada kehadiran ribuan penonton yang sanggup membanjiri Stadium Likas pada setiap perlawanan.

“Peminat banyak membantu saya, ramai orang turun stadium dan menyokong kami.

Perkara itu memberi saya motivasi yang tinggi.”

Barisan kejurulatihan Sabah FC perlu mencari ramuan terbaik untuk memastikan mereka berjaya mengatasi pasukan JDT untuk memastikan mereka berjaya mendapatkan slot ke Piala AFC musim depan.

Kemenangan ke atas pasukan Harimau Selatan akan menghadiahkan mata penting buat mereka kekal di tangga kedua liga.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen