Darren Lok dedah beberapa kelab berminat untuk dapatkan khidmatnya musim depan

3,902

Penyerang PJ City FC, Darren Lok memberitahu bahawa sudah ada beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya untuk saingan Liga Super pada musim hadapan.

Darren bagaimanapun berkata beliau enggan memikirkan soal itu lagi buat masa ini sebaliknya mahu fokus pada perlawanan terakhir Liga Super menentang KL City FC.


“Ada beberapa kelab yang menunjukkan minat, tapi tiada perbincangan lanjut lagi buat masa ini. Kontrak saya akan habis hujung musim ini jadi saya mahu fokus bersama pasukan PJ City terlebih dahulu sebelum fikir soal masa depan saya,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain kacukan Malaysian-England ini berkata pasukannya kini sedang membuat persiapan bagi menentang KL City kerana ia adalah perlawanan yang penting buat mereka untuk mencari kemenangan bagi mengelak bertemu dengan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di pusingan 16 Piala Malaysia.

“Kami sedar kami perlu elak bertemu dengan JDT di peringkat awal jika boleh, jadi kami perlu menang dengan KL City dan mengharapkan Sri Pahang FC kalah.”

Tambahnya pasukan KL City mungkin akan merehatkan beberapa tonggak utama kerana skuad The City Boys mempunyai satu lagi perlawanan yang cukup penting untuk dihadapi iaitu perlawanan akhir Piala AFC 22 Oktober ini.

Dalam pada itu, penyerang berusia 31 tahun itu juga mengulas mengenai khabar angin mengenai pasukan PJ City yang dilaporkan akan dijual yang mana beliau sendiri tidak terlalu ambil pusing mengenai khabar angin tersebut.

Menurut Darren, sebagai seorang pemain bola sepak beliau dan rakan sepasukan hanya perlu fokus pada kerja mereka iaitu bersedia untuk menghadapi perlawanan dan memberikan aksi terbaik bagi memastikan dapat keputusan positif.

Sementara itu, sasaran peribadi awal Darren mahu menjadi penjaring terbanyak tempatan pada musim ini hampir pasti digenggam apabila beliau kini berjaya mengumpul sembilan gol.

“Saya set sasaran untuk jadi penjaring terbanyak tempatan dan saya ada satu lagi perlawanan untuk pastikan ia menjadi kenyataan. Pada masa sama bantu pasukan untuk dapat keputusan baik di saingan Piala Malaysia nanti.”