Saya yakin PJ City FC akan kekal dalam Liga Super pada musim hadapan – P. Maniam
Ketua jurulatih PJ City FC, P. Maniam menyuarakan keyakinan pasukannya akan terus kekal dalam saingan Liga Super pada musim depan.
P. Maniam berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan bahawa PJ City akan mempunyai pemilik baru.
“Saya yakin PJ City akan kekal pada musim hadapan,”
ujarnya ringkas kepada Harimau Malaya.
Beliau pada masa sama turut enggan komen mengenai khabar angin yang mengatakan beliau sudah dirisik oleh beberapa kelab termasuk sebuah kelab di Pantai Timur.
Dalam pada itu, pengendali berusia 54 tahun ini yakin dengan kemampuan pemainnya untuk mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan terakhir Liga Super menentang KL City FC esok.
“Kita akan bermain dengan KL City yang merupakan sebuah pasukan hebat dan sukar, tapi saya rasa PJ City ada kekuatan tersendiri untuk menang pada perlawanan esok sekaligus dapat memperbaiki kedudukan kita ke tangga ke-8. Pada masa sama kita juga berharap Sri Pahang FC kalah.”
Beliau juga berkata prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh anak buahnya dalam enam perlawanan terakhir adalah hasil pertukaran taktikal selain pemain mempamerkan corak permainan yang luar biasa dan agresif.
Sementara itu, P. Maniam juga berkata beliau tiada masalah apabila pemain mudanya Oswyn Lim yang ke Perak FC baru-baru ini bagi menjalani sesi trail bersama skuad di bawah kendalian Lim Teong Kim.
Terdahulu ramai yang tertanya-tanya mengenai status pemain pertahanan kebangsaan B-19 itu apabila Oswyn tersenarai dalam kesebelasan utama dalam perlawanan persahabatan antara Perak menentang PIB FC baru-baru ini.
“Saya rasa beliau ada sasaran peribadi sendiri dan kami tidak boleh memaksanya. Jika beliau dapat peluang untuk bermain dengan Perak saya rasa bagus dan ucapkan selamat maju jaya buatnya.
Kalau kita tengok kontraknya bersama PJ City akan tamat pada hujung musim ini. Kami juga akan mengadakan perbincangan dengannya nanti.”