Ramai tonggak jadi sasaran, mula semula dari liga bawahan jalan terbaik buat Melaka United FC

1,418

Musim ini, satu demi satu masalah menimpa pasukan Melaka United FC sejak daripada awal musim sehinggalah sekarang.

Terpalit dengan isu tunggakan gaji, selain pasukan tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia, yang terbaru Melaka United berisiko untuk tidak beraksi dalam Liga Super kerana tidak mendapat Lesen Kebangsaan oleh Malaysian Football League (MFL).


Dengan perkembangan itu, ramai pasukan dilihat mengambil peluang untuk menyambar pemain Melaka United.

Antaranya adalah Perak FC yang baru sahaja menandatangani penyerang muda, Harith Naem baru-baru ini.

Harith merupakan salah seorang bekas anak didik ketua jurulatih Perak, Lim Teong Kim ketika di Akademi Mokhtar Dahari.

Tidak cukup dengan Harith, Perak dilaporkan sedang memburu ramai lagi pemain Hang Tuah bagi memperkuatkan pasukan mereka musim depan.

Teong Kim kini nampaknya sedang serius mempersiapkan pasukan untuk musim pertamanya di Liga Super apabila menganjurkan beberapa perlawanan persahabatan bagi menilai para pemain sedia ada dan yang menjalani percubaan.

Bagi pasukan Melaka United pula, tidak mustahil mereka terpaksa melepaskan beberapa bintang termasuk import yang sudah tidak beraksi dalam beberapa perlawanan terakhir liga.

Dengan reputasi pasukan itu yang sudah tercemar, sukar buat mereka menggantikan pemain-pemain yang bakal angkat kaki ke pasukan lain dan mungkin terpaksa menggunakan pemain-pemain muda selepas ini.

Selain itu, status pasukan beraksi dalam Liga Super juga masih belum pasti jadi sukar untuk menarik nama-nama besar. 

Mungkin sudah tiba masanya pasukan itu merombak semula pasukan dan bermula dari bawah seperti Perlus United FC sebelum ini.

Lebih baik sekiranya untuk ukur baju di badan sendiri daripada terus menganiayai para pemain yang periuk nasi mereka terkesan.