Terima dana terbanyak dari kerajaan negeri, pengurusan Sarawak United harus jelaskan ke mana perginya wang berkenaan

948

Nasib Sarawak United FC sama ada bertanding dalam Liga Super musim depan masih menjadi tanda tanya selepas kelab itu gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan oleh Malaysian Football League (MFL).

Ini kerana, kelab itu gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan dua bekas pemainnya iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan.


Mereka bagaimanapun diberi tempoh sebelum 19 Oktober untuk mengemukakan rayuan terhadap perkara itu.

Bercakap mengenai masalah yang melanda pasukan itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri Sarawak,Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah mendedahkan bahawa pihaknya sudah menghubungi kelab itu beberapa kali untuk mengadakan perbincangan tetapi sehingga sekarang mereka tidak mahu berjumpa.

Tambahnya, pasukan itu juga turut menerima dana terbanyak mencecah jutaan ringgit setiap tahun berbanding persatuan sukan lain dan juga sebuah lagi kelab yang  berasal dari negeri itu iaitu Kuching City.

Dengan pendedahan yang dilakukan ini, pihak pengurusan yang diketuai oleh presiden, Datuk Posa Majais haruslah bertanggungjawab membuat penjelasan mengenai keengganan untuk berjumpa pihak kerajaan negeri serta ke mana perginya dana yang diperuntukkan itu.

Adakah mereka takut terdapat perkara yang akan ‘terkantoi’ sekiranya kerajaan negeri mula masuk campur?

Wang yang diterima oleh kerajaan negeri adalah hasil daripada dana awam, jadi rakyat Sarawak terutama para penyokong berhak mengetahui apa sebenarnya punca permasalahan kelab itu.

Sekiranya tiada apa yang perlu disembunyikan, pihak pengurusan Sarawak United haruslah berani untuk bersemuka dengan pihak kerajaan negeri.

Ia juga adalah demi kebaikan pemain serta pegawai pasukan yang terpaksa menanggung risiko tidak dapat bermain di Liga Super musim depan.

Posa juga merupakan salah seorang naib presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), justeru segala masalah yang dilakukannya akan memberi kesan kepada nama baik persatuan itu.