Presiden PSSI terus didesak berundur, usaha STY bangunkan Indonesia mungkin terpaksa dibina semula oleh jurulatih lain

854

Selepas kira-kira dua minggu, Pasukan penyiasat bebas (TGIPF) tragedi Kanjuruhan telah menyerahkan laporan siasatan pihaknya kepada presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi.

Pihaknya menyatakan dalam laporannya mengenai kejadian itu bahawa ia berlaku akibat kerja tidak profesional yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dan pihak yang mempunyai kaitan dengan liga tersebut.


Menurut TGIPF, penggunaan gas pemedih mata, alat yang diharamkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), adalah merupakan penyebab tragedi tersebut.

TGIPF turut mendesak supaya Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan yang lebih dikenali sebagai Iwan Bule, serta jawatankuasa eksekutif badan itu untuk meletak jawatan.

Persatuan itu juga digesa untuk melakukan satu Kongres Luar Biasa (KLB) untuk membentuk kepemimpinan yang berintegriti, profesional, bertanggungjawab, dan bebas dari konflik kepentingan.

Sebelum ini, ketua jurulatih Indonsia, Shin Tae-yong telah berkata bahawa beliau akan turut berundur sekiranya Iwan Bule meletak jawatan.

Iwan Bule pula sebelum ini pernah berkata beliau tidak akan berundur daripada posisi itu dan sudah meminta maaf kepada orang ramai.

Dengan desakan terbaru ini, Iwan Bule pastinya semakin tertekan apabila bukan sahaja orang awam tetapi pihak berkuasa kini turut memintanya berundur.

Sekiranya kedua-dua figura yang berpengaruh dalam bola sepak Indonesia ini berundur, ia sudah tentu akan memberi kesan besar kepada persiapan Indonesia menjelang Piala AFF hujung tahun ini dan Piala Asia 2023.

Bukan sahaja Iwan Bule, tetapi pegawai-pegawai lain dalam persatuan itu turut akan menerima nasib yang sama.

Pengunduran secara besar-besaran akan menyebabkan segala usaha yang dilakukan selama beberapa tahun ini akan menjadi sia-sia begitu sahaja dan Indonesia mungkin terpaksa bermula semula dari bawah untuk sampai ke tahap sekarang.