Mukhairi Ajmal terus cipta sejarah bersama Selangor FC! Mustahil bakal berhijrah ke pasukan lain musim depan

1,229

Pemain tengah muda Selangor FC, Mukhairi Ajmal terus mencipta sejarah apabila menjadi pemain kedua termuda yang pernah mencapai 50 penampilan bersama skuad senior selepas Dato’ Zainal Abidin pada tahun 1982.

Tidak dapat dinafikan Mukhairi merupakan tonggak utama skuad Gergasi Merah Kuning pada musim ini biarpun pada awal musim hingga pertengahan musim skuad itu dalam prestasi terumbang-ambing sebelum diambil oleh Tan Cheng Hoe.


Biarpun baru berusia 20 tahun, gaya dan corak permainan beliau sangat matang dan menjadi antara prospek untuk skuad Harimau Malaya.

Dalam perlawanan terkahir Liga Super baru-baru ini ketika menentang Penang FC, Mukhairi telah diberi kepercayaan untuk mengemudi rakan sepasukan di atas padang sebagai ketua pasukan.

Ia merupakan satu penghormatan sekaligus pengiktirafan oleh Cheng Hoe terhadap kemampuan pemain berasal dari Sungai Lembing, Pahang itu.

Kemasukan Cheng Hoe juga memberi isyarat bahawa Selangor pada musim depan akan menampilkan lebih ramai pemain muda kerana bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan itu sememangnya terkenal dengan pendekatannya untuk mengetengahkan pemain muda seperti yang beliau lakukan ketika mengemudi Kedah FA sebelum ini.

Dengan itu juga menguatkan lagi kenyataan yang Mukhairi akan terus kekal di Selangor sekurang-kurangnya untuk semusim lagi.

Kontraknya bersama Selangor juga hanya akan tamat pada November 2023, jadi spekulasi mengenai perpindahan pemain itu ke pasukan lain tampak mustahil.

Terdahulu nama Mukhairi menjadi sebutan peminat apabila pasukan Perak FC memuat naik video teaser yang memaparkan belakang dua pemain muda yang bakal menyertai pasukan itu pada musim depan.

Salah seorang pemain yang muncul dalam video tersebut sudah pun diumumkan iaitu Harith Naem, manakala identiti seorang pemain lagi masih belum didedahkan.

Jika bukan Mukhairi siapakah pemain itu? Sama-sama kita tunggu pengumuman terbaru Perak nanti.

Boleh dikatakan agak mustahil untuk Mukhairi untuk bermain di Perak untuk musim depan atas beberapa faktor termasuk kontrak termasuk sudah menjadi salah seorang tonggak utama di Selangor.

Bagaimanapun dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku. Jika ketua jurulatih Perak iaitu Lim Teong Kim benar-benar mahukan khidmat pemain itu dan pihak pengurusan bersetuju, sudah pasti mereka akan sanggup tebus kontrak pemain tersebut.

Mukhairi sudah pasti tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan dalam buat masa ini kerana mahu fokus pada saingan Piala Malaysia terlebih dahulu.

Apa pun teruskan mengikuti perkembangan Mukhairi untuk mengetahui destinasi beliau pada musim depan samada kekal atau tidak.