Masa untuk Kedah Darul Aman FC, Terengganu FC atau Kelantan FC dapatkan khidmat Hang-seo, Piala AFF bakal jadi pentas terakhir buat beliau
Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) bakal melepaskan ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Park Hang-seo Januari depan selepas lima tahun bersama.
Perkara ini sedikit mengejutkan tatkala Hang-seo memiliki pencapaian yang baik selaku pengendali pasukan kebangsaan tersebut.
Namun, ia juga telah dijangka selepas wujud beberapa khabar angin menyatakan bahawa kontrak Hang-seo sebelum ini tidak akan disambung.
Piala AFF 2022 bakal menjadi pentas terakhir buat beliau dalam membimbing pasukan tersebut sebelum kontraknya tamat pada Januari tahun hadapan.
Situasi ini akan mungkin bakal mengganggu rentak kecemerlangan pasukan Vietnam selepas ini terutama sekali di saingan Piala Asia tahun hadapan.
Tempoh masa yang singkat akan menyebabkan para pemain Vietam bakal menghadapi kesukaran dalam segera menyusaikan diri dengan taktikal permainan yang bakal digunakan oleh pengganti Hang-seo kelak.
Pada masa yang sama, beberapa pasukan Liga Super turut dilihat mempunyai peluang yang baik untuk memanfaatkan keadaan ini.
Antaranya adalah pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang baru sahaja mengumumkan perpisahan mereka dengan ketua jurulatih, Aidil Sharin dan bakal melepaskan peranan tersebut kepada pembantunya, Victor Andrag bagi mengharungi saingan Piala Malaysia tahun ini.
Dengan adanya barisan pengurusan baru, tidak mustahil perkara ini boleh terjadi dan ia kan menjadi kelebihan yang besar buat pasukan Kedah yang dilihat merudum beberapa musim kebelakangan ini.
Pengalaman yang dimiliki oleh Hang-seo sedikit sebanyak akan membantu skuad Sang Kenari untuk memperbaiki kembali aksi hambar mereka musim ini.
Selain Kedah, Terengganu FC juga boleh mempertimbangkan kemasukan jurulatih berusia 65 tahun ini bagi menggantikan tempat ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang dikhabarkan bakal berpindah musim hadapan.
Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada masa depan Nafuzi yang masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan dalam masa terdekat.
Kehadiran Hang-seo akan menjadi tonik tambahan buat skuad Sang Penyu tambahan pula pada saingan Piala AFC musim depan.
Pengendali kelahiran Korea Selatan ini cukup memahami selok belok bola sepak Asia dan perkara ini akan menjadi senjata rahsia utama buat pasukan yang mendapatkan khidmat beliau.
Pendatang baru Liga Super musim depan, TRW Kelantan FC setakat ini masih belum memiliki sebarang calon yang bakal mengisi posisi ketua jurulatih bagi saingan musim depan.
Ketua jurulatih buat masa ini, Rezal Zambery Yahya tidak dapat mengekalkan tempatnya kerana belum melepasi kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak Malaysia Football League (MFL).
Dengan bajet yang dimiliki oleh pemilik, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, kemasukan Hang-seo mungkin dilihat sebagai ‘angan-angan’ yang tinggi namun mampu direalisasikan.
Hang-seo cukup disegani di rantau Asia Tenggara dengan beberapa kejayaan yang dicapainya bersama pasukan Vietnam sebelum ini.
Selama lima tahun berkhidmat, Hang-seo berjaya membawa skuad senior Vietnam bergelar juara Piala AFF pada tahun 2018 sebelum layak sehingga ke pusingan suku akhir Piala Asia 2019.
Hang-seo juga berhasil membimbing pasukan negara tersebut untuk cemerlang di pusingan kelayakan Piala Dunia 2022 selepas mereka layak sehingga ke pusingan ketiga.
Selain skuad senior, beliau juga berjaya membawa beberapa kejayaan ketika mengendali skuad B-23 Vietnam.
Antaranya adalah sewaktu mereka berjaya merangkul gelaran naib juara dalam saingan Piala Asia B-23 pada tahun 2018 dan muncul pemenang pingat emas Sukan SEA dua edisi berturut-turut, 2019 dan 2021.
Jelas perkara ini bakal menjadi sebuah perubahan yang besar buat Vietnam namun dengan kualiti pemain yang dimiliki, tidak mustahil untuk mereka dapat mengekalkan kecemerlangan meskipun tanpa kehadiran Hang-seo.