Saddil terima undangan dari kelab divisyen 2 Austria, Piala Malaysia bakal jadi aksi terakhir?

774

Pemain import Sabah FC, Saddil Ramdani dikhabarkan telah menerima undangan menjalani latihan percubaan bersama kelab Divisyen 2 Liga Austria.

Perkara ini disahkan oleh bekas ketua jurulatih Sabah FC merangkap legenda bola sepak Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto yang memiliki hubungan akrab bersama pemain tersebut.


Kurniawan merupakan individu yang telah bertanggungjawab membawa Saddil bersama pasukan Sabah FC daripada Bhayangkara FC pada tahun 2021.

Sekiranya perkara ini benar-benar terjadi, berkemungkinan besar Piala Malaysia tahun ini bakal menjadi aksi terakhir buat Saddil bersama skuad Sang Badak.

Saddil merupakan antara pemain utama pasukan Sabah FC yang sering diturunkan selaku kesebelasan utama.

Beliau telah berjaya mengumpul empat jaringan serta enam bantuan gol daripada 17 aksi Liga Super musim ini.

Kelincahan serta kebolehan beliau bermain di beberapa posisi menyebabkan khidmatnya sentiasa ditagih lebih-lebih lagi dalam mengumpul mata-mata berharga menuju ke penghujung saingan liga.

Daripada 17 aksi tersebut, Saddil telah diletakkan selaku pemain kesebelasan utama dalam 14 perlawanan.

Dengan potensi serta kebolehan beliau ini, tidak hairan mengapa beliau sering dikaitkan dengan beberapa kelab sebelum ini termasuk daripada Eropah.

Tambahan pula, ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee dilihat terbuka dan tidak menolak sekiranya ada tawaran secara profesional dilakukan untuk mendapatkan khidmat pemain sayap tersebut.

Beliau juga sudah lali dengan spekulasi perpindahan pemain kelahiran Indonesia tersebut yang rancak diperkatakan sebelum liga musim ini bermula lagi.

Selain ke pasukan di Eropah, ada juga khabar angin yang mengaitkan beliau untuk kembali ke negara kelahirannya untuk beraksi di Liga 1.

Terdahulu, Saddil pernah beraksi untuk beberapa kelab di Indonesia seperti Persela Lamongan yang kini beraksi di Liga 2 sebelum mula berhijrah ke Liga Malaysia (Liga M) bersama Sri Pahang FC.

Pada masa yang sama, beliau juga memiliki peluang cerah untuk melebarkan sayapnya di Eropah bersama Kurniawan yang kini sedang berkhidmat dengan kelab dari Itali, Como 1907 selaku pembantu jurulatih.

Tidak mustahil, Saddil bakal dibawa ke kelab tersebut memandangkan beliau memiliki pengalaman beraksi di bawah bimbingan Kurniawan sebelum ini.

Ia akan menjadi satu kehilangan yang besar buat pasukan Sabah FC bagi mengharungi saingan musim depan sekiranya Saddil benar-benar berpindah.

Namun, apa yang penting buat masa ini adalah untuk pemain tersebut membantu rakan sepasukannya dalam beraksi cemerlang di saingan Piala Malaysia tahun ini untuk menghidupkan peluang mereka ke Piala AFC tahun hadapan.

Seperti yang sedia maklum, sebuah lagi slot ke Piala AFC tahun hadapan bakal diserahkan kepada juara Piala Malaysia tahun ini.