MFL sambut baik jika Piala AFC 2023 diadakan pada Januari 2024
Setelah lama menanti negara manakah yang akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan Piala Asia 2023, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akhirnya telah mengumumkan negara Qatar telah dipilih untuk menjadi tuan rumah.
Perkembangan itu disahkan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa yang turut mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA).
Biarpun sudah mengetahui negara tuan rumah, namun pihak AFC masih lagi belum ditetapkan lagi tetapi Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John dalam satu kenyataan kepada sebuah akhbar memberitahu jika Qatar dipilih kejohanan itu akan diadakan pada Januari 2024 kerana cuaca ketika itu tidak panas.
Pemilihan Qatar sebagai tuan rumah itu disambut baik oleh pengelola Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL).
“Kami masih lagi belum menerima sebarang maklumat rasmi mengenai tarikh Januari 2024 tetapi jika ia benar, ia adalah satu keputusan yang baik untuk kami bagi memastikan transisi ke tahun 2023 berjalan dengan lancar,”
kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam kepada Harimau Malaya.
Tambahnya lagi, ia juga akan memudahkan untuk pihaknya membuat perancangan jadual Liga Super pada musim depan.
“Kami tahu persiapan pasukan kebangsaan juga penting dan kami berharap dapat memuktamadkan keperluan pasukan kebangsaan untuk 2023 supaya ia sesuai dengan penstrukturan liga oleh MFL untuk tahun 2023 juga.”
Terdahulu empat negara telah membida sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 iaitu Qatar, Indonesia, Korea Selatan dan Australia.
Australia kemudian telah menarik diri, sekaligus memperlihatkan hanya tiga negara sahaja yang bersaing untuk membida.
Pemilihan Qatar adalah satu keputusan yang tepat berikutan negara Timur Tengah itu mempunyai infrastruktur berkelas dunia, tambahan mereka akan menjadi tuan rumah untuk kejohanan bola sepak berprestij Piala Dunia 2022 pada November ini.