Zaquan Adha pasang impian untuk bertemu bekas kelabnya, JDT di final Piala Malaysia

1,189

Ketua pasukan Negeri Sembilan FC, Zaquan Adha nyata bersemangat menjelang saingan Piala Malaysia tahun ini selepas berjaya membantu pasukannya menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga empat teratas.

Beliau juga percaya dengan semangat dan momentum kecemerlangan yang dimiliki buat masa ini, tidak mustahil untuk pasukan tersebut layak ke perlawanan akhir untuk bertemu dengan pasukan-pasukan gergasi Liga Malaysia (Liga M).


“Hari ini adalah hari pertama untuk kita berlatih semula kerana Coach memberi rehat dua hari selepas perlawanan terakhir.

Kami kena bersedia untuk Piala Malaysia dan kami akan cuba buat yang terbaik, kita tahu laluan di Piala Malaysia kali ini tidak begitu mudah dan kita akan cuba sebaik mungkin, jika ada rezeki, kita akan ke final menentang JDT,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berusia 35 tahun tersebut mengakui kelainan yang dimiliki oleh Piala Malaysia yang memerlukan beliau dan rakan sepasukan untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

Zaquan juga berharap agar kelebihan beraksi di halaman sendiri pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia kelak akan menjadi motivasi terbaik buat kesemua pemain dalam memberikan aksi yang diinginkan.

“Suasana Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA adalah berbeza.

Kelebihan untuk kita kerana Negeri Sembilan FC akan mula bermain di gelanggang lawan terlebih dahulu sebelum beraksi di home pada perlawanan timbal balik, rekod kita agak baik di gelanggang sendiri.”

Di atas kertas, kelebihan semestinya berpihak kepada pasukan Negeri Sembilan FC tatkala lawan mereka, Kedah Darul Aman FC baru sahaja melepaskan ketua jurulatih, Aidil Sharin selepas aksi hambar pada lima perlawanan terakhir Liga Super.

Walau bagaimanapun, Zaquan tidak menganggap situasi ini sebagai alasan untuk pemain Negeri Sembilan FC berasa terlalu selesa menjelang perlawanan pertama di Stadium Darul Aman 25 Oktober ini.

“Kita tolak tepi sebarang masalah yang daripada pihak lawan, pertukaran jurulatih dan sebagainya.

Lebih penting adalah persiapan pasukan kami untuk mengikuti setiap taktikal yang diberikan oleh Coach.”