Hamidin yakin Harimau Malaya mampu cipta sejarah di Piala Asia 2023

561

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menyuarakan keyakinannya terhadap peluang pasukan kebangsaan untuk mencipta sejarah baru di Piala Asia 2023.

Hamidin berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai peluang skuad Harimau Malaya apabila mempunyai tempoh yang panjang untuk membuat persiapan apabila Qatar telah dipilih sebagai tuan rumah yang mana ia berkemungkinan besar akan dijalankan pada bulan Januari 2024.


“Tiada yang mustahil dalam bola sepak. Kita perlu sentiasa ada keyakinan tinggi untuk terus maju lebih baik. Kita akan beri cabaran sengit pada kejohanan Piala Asia nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau pada masa sama turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) atas pemilihan negara itu sebagai tuan rumah.

“Tahniah Qatar! Qatar sememangnya sudah arif dalam menjadi tuan rumah kejohanan dan perlawanan besar bertaraf dunia. Mereka juga pada ketika itu sudah menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Maka dengan infrastruktur stadium yang lengkap serba canggih itu, mereka pastinya mampu menyediakan perlawanan yang cukup gah nanti.”

Pada bulan Mei lalu, skuad negara telah menamatkan kemarau lebih 40 tahun apabila layak ke Piala Asia 2023 secara merit.

Skuad kendalian Kim Pan-gon berjaya menjadi naib johon Kumpulan E dalam kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).