Saya tipu jika kata tiada pasukan hubungi saya, tapi saya mahu kekal di sini lama! Sampai Mati Kuala Lumpur – Giancarlo Gallifuoco
Pemain pertahanan KL City FC, Giancarlo Gallifuoco mengakui ada beberapa pasukan yang menghubungi bagi mendapatkan khidmatnya namun beliau mahu terus kekal bersama pasukannya ketika ini untuk satu tempoh yang lama.
“Saya tipu jika kata tiada pasukan menghubungi saya, tapi seperti semua sedia maklum sampai mati Kuala Lumpur. Saya mahu berada dalam pasukan ini dalam tempoh yang lama,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Giancarlo atau lebih mesra dengan panggilan GG berkata beliau masih mempunyai kontrak bersama skuad The City Boys sehingga November 2023.
GG pada masa sama turut menegaskan bahawa beliau enggan ambil pusing dengan perkara lain termasuk khabar angin mengenai masa depannya sebaliknya mahu fokus 100 peratus terhadap perlawanan akhir Piala AFC yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini.
“Persiapan pasukan ketika ini berada pada tahap terbaik dengan kami berada dalam situasi gembira kerana tidak menyangka mampu layak sehingga ke peringkat akhir.
Oleh itu kami tahu tanggungjawab kami kerana kami kini bukanlah mewakili kelab sahaja tetapi kami adalah wakil Malaysia. Kami kini sedang membuat analisis mengenai pihak lawan dan akan bersedia pada perlawanan Sabtu ini.”
Tambahnya lagi, beliau tidak mempunyai sasaran peribadi sebaliknya berharap dapat menjadi rakan sepasukan yang terbaik sekaligus dapat bantu pasukan untuk dapatkan keputusan yang baik.
Jelas GG lagi, ketua jurulatih iaitu Bojan Hodak sudah pun mempunyai percaturan dan strategi terbaik untuk pasukan, oleh itu setiap pemain termasuk dirinya perlu memastikan dapat menterjemahkan percaturan Hodak di atas padang nanti.
KL City akan berdepan juara Liga Oman, Al Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun ini turut mengulas mengenai ciapannya di Twitter mengenai dirinya tidak dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Australia walaupun ranking Liga Malaysia jauh lebih baik dari A League.
“Saya tweet hanya untuk persoal sahaja. Ini kerana Liga Malaysia jauh lebih baik dari A League, jadi saya mahu memahami adakah ketua jurulatih kebangsaan ada melihat perkembangan pemain Australia yang beraksi di liga luar dari A League.
Bagaimanapun sejujurnya saya tidak memikirkan mengenai perkara itu langsung buat masa ini kerana fokus pada perlawanan akhir sahaja.”
Sementara itu, GG juga mengakui ada terdengar dengan khabar angin yang mengatakan beliau terpilih untuk ke Piala Dunia bersama skuad kebangsaan Australia, namun beliau enggan terlalu teruja sebaliknya mahu terus bekerja keras untuk menjadi pemain terbaik.