Harap Ultras Malaya dan seluruh peminat bola sepak tanah air turun SNBJ beri sokongan padu buat KL City FC

800

Tinggal tiga hari sahaja lagi akan berlangsung perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang akan menyaksikan KL City FC akan menentang Al-Seeb pada 22 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Ia merupakan satu sejarah bukan sahaja kepada KL City, tetapi juga buat bola sepak Malaysia apabila pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memilih SNBJ sebagai venue perlawanan akhir.


Walaupun ada segelintir peminat The City Boys tidak berpuas hati apabila perlawanan tidak berlangsung di home KL City iaitu Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, namun rata-rata peminat bersetuju perlawanan dibuat di SNBJ kerana ia adalah perlawanan akhir.

Tambahan pula, untuk perlawanan akhir kali ini pihak AFC akan menggunakan teknologi VAR (video assistant referee) yang mana Stadium KL tidak mempunyai fasiliti atau kemudahan untuk kelengkapan VAR.

Apabila beraksi di salah sebuah stadium yang mempunyai kapasiti terbesar didunia, diharap peminat KL City dapat turun ke stadium bagi memberi sokongan padu kepada pasukan kesayangan mereka.

Seruan untuk turun ke stadium ini tidak hanya kepada peminat KL City sahaja sebaliknya kepada seluruh peminat bola sepak tanah air perlu turun memberi sokongan kerana kelab dari Lembah Klang itu adalah wakil Malaysia.

Perlawanan akhir Piala AFC berlansung di SNBJ adalah perkara yang hampir mustahil akan berlaku tetapi memandangkan ia sudah menjadi kenyataan rasanya kita sebagai peminat bola sepak perlu memberi sokongan wakil negara.

Jika ramai tapi tiada sorakan chant daripada peminat juga akan membuatkan suasana dalam stadium menjadi bosan, jadi ramai yang mengharapkan Ultras Malaya dapat kembali menggegarkan SNBJ seperti yang dilakukan ketika kempen kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Demi menyeru lebih ramai peminat hadir, tiket perlawanan akhir Piala AFC sudah pun mula dijual dalam talian bermula 17 Oktober lalu yang mana ia akan dijual pada harga promosi RM30 (harga asal RM50) sahaja sehingga 19 Oktober.

Pembelian tiket dalam talian boleh dibeli di laman sesawang www.tickethotline.com.my.

Bagi yang tidak sempat jangan risau kerana penjualan tiket fizikal akan mula dijual bermula hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada pukul 2.00PM hingga 8.00PM hari ini.

Mampukah KL City sekali lagi membuat kejutan seperti yang berlaku pada perlawanan separuh akhir Antara Zon dan perlawanan akhir Antara Zon? Sama-sama kita tunggu kerana dalam dunia bola sepak apa sahaja boleh berlaku.