Zamsaham sedia jual pemilikan PSPS Riau, tindakan terbaik buat masa ini

1,819

Pemilik kelab TRW Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham bersedia untuk melepaskan pemilikan penuh sebuah lagi kelab miliknya di Liga 2 Indonesia, PSPS Riau.

Perkara ini telah dikongsikan menerusi sebuah kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh kelab tersebut pada 18 Oktober baru-baru ini.


Keputusan ini dibuat hasil daripada perbincangan yang telah dilakukan oleh barisan kepimpinan pasukan tersebut melihat kepada pelbagai tuntutan serta reaksi yang didapatkan daripada peminat setempat terutamanya kumpulan ultras, Curva Nord 1955.

Tindakan ini dilihat sebagai pilihan yang tepat buat masa ini tatkala keadaan bola sepak di Indonesia yang tidak begitu baik dengan beberapa insiden tragis dan ekstrem yang telah berlaku termasuk kejadian terbaru di Stadium Kanjuruhan.

Tambahan pula, Zamsaham telah menghadapi pelbagai masalah serta menerima banyak ancaman sejak mula-mula mengambil alih.

Sehingga ada segelintir penyokong yang bertindak agresif menyerang perniagaan yang dijalankan oleh beliau di Indonesia serta mengugut untuk ‘menutup’ perniagaan tersebut.

Rasa tidak puas hati para penyokong ini mula timbul sewaktu perlawanan persahabatan di antara PSPS Riau menentang TRW Kelantan FC yang terpaksa dibatalkan ekoran daripada beberapa isu seperti pemohonan ‘wang keamanan’ bernilai sekitar 40 juta Rupiah atau RM11,821.

Selain itu, beliau juga terpaksa menghadapi beberapa masalah dalaman termasuk penyelewangan wang yang dilakukan oleh bekas wakil kelab tersebut, Edward Riansyah atau lebih dikenali sebagai Edu.

Semakin memeningkan, telah berlaku sebuah rusuhan yang dilakukan oleh peminat kelab tersebut sewaktu mereka tewas pada aksi menentang PSMS Medan.

Kekalahan tersebut menyebabkan para peminat bertindak agresif dan mula merosakkan dan membakar fasiliti stadium seperti kerusi dan sebagainya.

Masalah seperti inilah yang menyebabkan pilihan Zamsaham untuk mempertimbangkan jualan kelab tersebut boleh dianggap sebagai tindakan terbaik dan tepat.

Pada masa yang sama, peluang ini boleh digunakan oleh Zamsaham untuk memberikan sepenuh perhatian dalam terus memperbaiki kualiti pasukan The Red Warriors bagi menghadapi cabaran baru di Liga Super musim hadapan.

Baru-baru ini, Zamsaham dilihat secara terbuka menerusi hantaran di akaun Facebook miliknya menyatakan hasrat beliau untuk mencari pemain import berkualiti daripada benua Afrika untuk memperkuatkan pasukannya.

Untuk musim ini, TRW Kelantan FC terlepas peluang mendakap trofi Liga Perdana selepas dipintas oleh Johor Darul Ta’zim FC II di penghujung saingan.

Walaupun begitu, musim ini tetap boleh dikelaskan sebagai musim yang baik buat pasukan pantai timur tersebut setelah mereka menunjukkan peningkatan.

Zamsaham berjaya mencari formula terbaik dalam membina sebuah pasukan berkualiti meskipun tidak memakan bajet yang begitu besar.

Dengan tindakan ini juga, Zamsaham boleh mula untuk mewujudkan sebuah pasukan muda Kelantan FC yang akan bersaing di Liga Simpanan musim depan serta pasukan muda berkualiti yang mewakili Kelantan FC di Piala Belia dan Piala Presiden.

Selepas menjual kelab tersebut, Zamsaham mungkin boleh mengambil tempoh berehat sementara sebelum mencari kelab luar negara lain yang lebih berbaloi untuk dilaburkan dalam jangka masa panjang.

Beliau boleh mempertimbangkan kemungkinan melakukan pelaburan baru untuk kelab di negara Asia Tenggara yang lain seperti Vietnam untuk kualiti yang jauh lebih baik.