Iwan Bule, Gianni Infantino dikecam bermain bola ketika Indonesia masih berduka atas tragedi Kanjuruhan
Selepas lebih dua minggu tragedi Kanjuruhan yang mengorbankan 133 nyawa, Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino melakukan lawatan ke Indonesia bagi berjumpa dengan pihak berkuasa mengenai perkara itu.
Dalam lawatan itu, Infantino ada bertemu dengan presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi dan memutuskan bahawa Stadium Kanjuruhan akan dirobohkan dan dibina dengan stadium baru yang mengikut standard FIFA.
Infantino juga turut bertemu presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochammad Iriawan atau Iwan Bule bagi membincangkan mengenai tragedi itu serta bola sepak Indonesia.
Menurut Iwan, presiden FIFA itu memberi jaminan bahawa badan induk itu akan memberikan sokongan kepada Indonesia untuk bangkit daripada tragedi tersebut.
Infantino turut memberi sokongan kepada Indonesia untuk kekal menganjurkan Piala Dunia B-20 tahun depan dengan memberi jaminan tidak akan menarik hak tuan rumah gara-gara tragedi tersebut.
Selain daripada itu, beliau turut menggesa Indonesia untuk menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan liga tempatan bagi meningkatkan mutu bola sepak di negara itu.
Menurut Infantino, beliau faham kos tinggi diperlukan untuk mengaplikasi teknologi itu dan berharap pihak kerajaan mampu memberi sokongan untuk perkara itu.
Mereka juga sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan di Stadium Madya selepas pertemuan itu.
Bagaimanapun, ia mendapat reaksi negatif daripada kebanyakan pihak yang amat kecewa kerana menganggap ia tidak menjaga sensitiviti memandangkan seluruh Indonesia masih belum pulih daripada tragedi tersebut.
Ketika ini, Liga Indonesia masih lagi sedang ditangguhkan gara-gara insiden tersebut justeru penganjuran perlawanan itu dilihat sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku.
Iwan juga ketika ini berdepan tekanan daripada sebilangan peminat bola sepak Indonesia untuk berundur gara-gara tragedi tersebut.
Bukan itu saja, pasukan penyiasat bebas (TGIPF) tragedi Kanjuruhan turut menggesa Iwan serta jawatankuasa eksekutif PSSI untuk meletak jawatan.
Dengan tekanan yang sedang dihadapinya serta penangguhan sebarang aktiviti bola sepak di negara itu, mungkin ia bukanlah tindakan bijak untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu.
Ketika ini juga masih ada mangsa yang masih cedera parah dan dirawat di hospital, justeru ia dilihat seperti tidak menghormati keluarga mangsa yang masih berduka atas insiden itu.