Adakah Harith Haiqal kekal bersama Selangor FC, atau berkelana ke pasukan seperti Perak FC untuk minit permainan?
Masa depan pertahanan skuad B-23 negara, Harith Haiqal masih menimbulkan tanda tanya di kalangan peminat bola sepak negara.
Beliau yang kini bersama Selangor FC tidak berjaya mendapatkan minit permainan mencukupi selepas jarang diturunkan oleh bekas jurulatih, Michael Feicthenbeiner.
Sepanjang 22 perlawanan musim ini, Harith hanya berjaya memperoleh 284 minit permainan secara keseluruhan selepas diturunkan sebanyak lapan kali dan kesemuanya adalah sebagai pemain simpanan.
Dalam lapan perlawanan awal liga, beliau hanya dua kali berada di bangku simpanan dan selainnya tidak disenaraikan di dalam skuad perlawanan.
Ada perubahan kecil yang berlaku selepas kemasukan ketua jurulatih baru, Tan Cheng Hoe yang gemar menggunakan pemain muda.
Daripada lima perlawanan pertama di bawah kendalian Cheng Hoe, Harith berhasil membuat empat penampilan termasuk sewaktu membelasah pasukan Melaka United, 5-0 di laman sendiri.
Dengan kontrak yang bakal tamat pada penghujung November ini, wujud cadangan dan saranan daripada peminat untuk melihat pemain ini berkelana ke kelab lain untuk mencari lebih minit permainan.
Pilihan terbaik buat pemain ini mungkin untuk bersama jurulatih yang mempunyai pengalaman di dalam pembangunan pemain seperti Lim Teong Kim di Perak FC.
Tambahan pula, Perak FC baru sahaja mengumumkan kemasukan dua pemain muda, Harith Naim dan Ilham Aqil untuk memperkuatkan pasukan tersebut.
Kemasukan Harith dapat dilihat sebagai penambahan yang baik buat pasukan tersebut melihat kepada potensi serta bakat yang dimiliki oleh pemain berusia 20 tahun tersebut.
Walaupun jarang membuat penampilan di Liga Super, Harith tetap berjaya mendapatkan tempat di dalam skuad B-23 yang sebelum ini dikendalikan oleh Brad Maloney.
Bukan sekadar mendapat tempat, Harith juga berjaya mempamerkan aksi berkualiti di dalam mengawal bahagian pertahanan negara terutama sekali ketika di temasya Sukan SEA Hanoi pada Mei lalu.
Prestasi beliau bersama skuad Selangor FC II sebelum ini juga wajar dipuji serta berjaya menunjukkan betapa pemain muda ini perlu diberikan perhatian sewajarnya.
Dengan pengalaman beliau beraksi di peringkat antarabangsa, Harith semestinya akan segera menyesuaikan diri bersama pemain-pemain yang lebih tua seperti Wan Zack Haikal dan Indra Putra Mahayuddin.
Jika beliau ingin kekal bersama Selangor FC, beliau perlu bekerja lebih keras untuk menambat hati Cheng Hoe bagi membolehkannya merebut tempat yang kini diisi oleh pemain seperti Sharul Nazeem dan import dari Jordan, Yazan Al Arab.
Tidak mustahil khidmat beliau bakal ditagih ditambah dengan rombakan format liga yang bakal menyajikan aksi yang lebih banyak musim depan.
Cheng Hoe perlu memanfaatkan bakat muda ini sebelum potensi yang dimiliki oleh beliau terus disia-siakan begitu sahaja.
Piala Malaysia mungkin menjadi medan terbaik untuk menguji pemain ini selepas Selangor FC dijadual bertemu Kelantan United pada perlawanan pusingan 16 yang akan berlangsung pada 25 Oktober ini.