MAM sahkan acara Battle of The King (BOTK) 2022 tidak diluluskan dan dikawal-selia oleh pihak mereka
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai satu rakaman kemalangan maut dalam satu kejohanan lumba drag Battle of The King (BOTK) 2022 yang berlangsung di Litar Perlumbaan Terengganu, Gong Badak.
Mangsa insiden tersebut iaitu Muhamad Hafez Jamal Jamaludin meninggal dunia akibat kecederaan parah manakala jenteranya remuk teruk.
Ramai yang tampil memberi pelbagai reaksi termasuk mempersoal aspek keselamatan ketika acara itu berlangsung.
Susulan insiden itu, pihak Motorsports Association of Malaysia (MAM) telah tampil mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut sambil mengucapkan takziah kepada keluarga masa.
Dalam kenyataan MAM, mereka telah menyatakan bahawa acara Drag BOTK 2022 tidak diluluskan dan dikawal-selia (sanctioned) oleh pihak MAM.
Jelas mereka lagi, untuk tahun 2022 Litar Gong Badak hanya dibenarkan oleh pihak MA untuk acara litar dua roda iaitu Petronas Malaysian CubPrix.
“Malangnya, acara Drag BOTK 2022 TIDAK diluluskan dan dikawal-selia (“sanctioned”) oleh pihak MAM. Untuk tahun 2022, kemudahan Litar Gong Badak hanya dibenarkan oleh pihak MAM untuk acara litar 2 roda iaitu Petronas CubPrix, dengan keperluan keselamatan tambahan.
Pihak MAM tidak pernah memberi sebarang kelulusan untuk lumba drag di litar Gong Badak.”
MAM pada masa sama turut memberitahu bahawa acara-acara yang dikawal-selia oleh pihak mereka dijalankan dengan mematuhi garis panduan am dan teknikal yang telah ditetapkan oleh pihak FIA dan FIM.
Untuk memastikan sukan drag lebih selamat pada masa hadapan, pihak MAM dan pihak Kementerian Belia & Sukan (KBS) sudah pun mengadakan perbincangan berkenaan spesifikasi kemudahan perlumbaan drag yang diluluskan oleh pihak FIA/FIM.
Perbincangan itu diadakan bagi menyahut pengumuman Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang mahukan sukan lumba drag negara membangun dan berkembang.
Apa pun diharap dengan insiden yang berlaku ini dapat menjadi pengajaran buat semua terutamanya pihak penganjur supaya mendapatkan kelulusan daripada pihak MAM terlebih dahulu sebelum menganjurkan sebarang perlumbaan drag bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku lagi pada masa hadapan.