Tiada lagi peraturan gol ‘away’ dalam saingan Piala Malaysia 2022
Pelbagai reaksi diberikan oleh peminat bola sepak di seluruh dunia apabila Union of European Football Associations (UEFA) memansuhkan peraturan gol di tempat lawan (away) dalam kejohanan kalah mati.
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) juga telah mengikut langkah sama apabila mengambil keputusan untuk memansuhkan peraturan gol di tempat lawan bermula musim hadapan.
Terbaru, pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL) kini juga mengambil pendekatan sama apabila mengumumkan mereka akan menyelaraskan peraturan gol di tempat lawan selari dengan perubahan UEFA dan AFC.
Bagaimanapun penyelarasan itu akan dibuat pada musim ini juga atau lebih tepat lagi pada saingan Piala Malaysia 2022 yang akan bermula pada 26 Oktober ini.
“Pada 24 Jun 2021, UEFA telah membuat keputusan untuk memansuhkan peraturan Away Goal bermula musim 2021/2022 sementara pada 1 Ogos 2022 pula, AFC telah memaklumkan keputusan untuk memansuhkan peraturan Away Goal bermula musim hadapan.
Justeru MFL telah memutuskan untuk menyelaraskan peraturannya dengan perubahan terkini AFC dan UEFA dengan memansuhkan peraturan kelebihan ‘away goal’ dalam kejohanan kalah mati di mana perubahan peraturan ini bermakna bahawa perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti,”
kata MFL dalam satu kenyataan media.
Dengan perubahan peraturan gol di tempat lawan ini akan menyaksikan pasukan yang menjaringkan gol di tempat lawan tidak lagi akan mendapat kelebihan, sebaliknya mereka perlu menang secara agregat.
Perubahan ini juga dijangka akan menjadikan perlawanan akan menjadi lebih menarik lagi apabila tiada lagi pasukan akan cuba bermain secara bertahan apabila sudah mempunyai kelebihan gol di tempat lawan seperti terdahulu.
Nampaknya saingan Piala Malaysia pada tahun ini akan menjadi lebih menarik dan sudah pasti ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka berjuang habis-habisan demi merebut trofi berprestij itu.