Saya disuruh berundur supaya wang ‘mengalir’ ke dalam KLFA dan KL City FC – Khalid Samad

5,572

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mendakwa terdapat pihak yang meminta dirinya untuk berundur daripada persatuan tersebut sekiranya mahu wang ‘mengalir’ ke dalam persatuan dan juga KL City FC.

Menurutnya, pihak tersebut turut menyatakan secara jelas bahawa mereka juga mahukan ketua pegawai eksekutif KL City, Stanley Bernard berundur daripada pasukan itu.


“Saya diminta berjiwa besar dan meletak jawatan supaya KLFA akan menerima jawatan duit dan dengan itu KL City akan juga turut menerimanya tetapi saya enggan kerana saya amat sedar akan implikasi pemergian saya.

Sekiranya Stanley dihentikan, Bojan Hodak (ketua jurulatih) akan berhenti kerana mereka merupakan gandingan yangbaik dan sekiranya ini berlaku, maka keadaan pasukan KL City akan kembali kepada seperti dahulu,”

katanya.

Menurut Khalid, beliau bersusah payah membawa KL City ke tahap ini daripada sebuah pasukan yang tidak memenangi sebarang kejuaraan selama tempoh 32 tahun tanpa penaja tradisi pasukan itu.

Katanya, beliau dan Stanley terpaksa meminjam duit dari beberapa individu dan institusi serta menjadi penjamin kepada sebahagian pinjaman tersebut.

Menurutnya, beliau tidak akan tunduk kepada pihak yang mahu menjadikan bola sepak untuk kepentingan peribadi dan keuntungan perniagaan.

“Mereka yang dikenalpasti untuk mengambil alih pasukan hanyalah untuk kepentingan perniagaan dan agenda peribadi mereka.

Itulah sebabnya pasukan ini tidak mencapai apa-apa kejayaan utama selama 32 tahun sehingga sekarang.”

Menurutnya, beliau mahu terus kekal sebagai presiden KLFA walau apapun keputusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Beliau berkata, nasib beliau sama ada kekal atau tidak hanya akan ditentukan ketika Mesyuarat Agung Tahunan KLFA pada tahun depan.