Kami dah mohon ‘start’ lambat tetapi AFC tak bagi, harap penyokong tak masuk padang jika kalah – Khalid Samad

4,624

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad berharap supaya penyokong-penyokong KL City FC menjaga kelakuan ketika perlawanan akhir Piala AFC menentang Al-Seeb Sabtu ini.

Beliau berkata, sama ada menang atau kalah, penyokong harus menjaga nama baik pasukan dan juga negara dengan tidak melakukan sebarang provokasi.


“Kita harap ramai penyokong yang hadir pada perlawanan itu tetapi pada masa yang sama jaga disiplin tidak kisah sama ada menang atau kalah, jangan masuk ke padang dan lakukan tindakan yang boleh membahayakan.

Kita juga memang dah perketatkan kawalan keselamatan dan belajar daripada pengalaman sebelum ini,”

katanya.

Menurutnya, setakat ini, kira-kira 10,000 tiket sudah terjual secara atas talian dan pihaknya menyasasarkan kira-kira 25,000 penyokong akan hadir.

Menurutnya, perlawanan itu turut akan dihadiri oleh Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman Ebrahim Khalifa, Presiden Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam.

Mengenai masa perlawanan yang berlangsung pada pukul 7.00 malam, Khalid berkata, pihaknya tidak dapat melakukan apa-apa kerana ia di bawah kuasa AFC.

“Waktu sepak mula adalah di luar kawalan kami, tetapi kami sudah berbincang supaya perlawanan dapat dimulakan lewat sedikit tetapi tidak berjaya atas sebab-sebab tertentu.

Mungkin stadium akan nampak kosong sedikit tetapi lepas waktu solat maghrib akan mula nampak penuh.”

Dalam pada itu, CEO KL City, Stanley Bernard berkata, pihaknya sudah melakukan yang terbaik bagi menghadapi segala kemungkinan pada perlawanan itu dari segi fasiliti dan keadaan padang,

Menurutnya, beliau sudah berkomunikasi dengan pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk memastikan perlawanan tersebut berjalan lancar.

“Mungkin kita gunakan padang sehari sebelum perlawanan bagi menjaga kualiti permukaan, PSM juga sudah berikan kerjasama yang baik dengan kami, saya sendiri sudah berkampung selama seminggu di sana.”

Perlawanan antara KL City dan Al-Seeb akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7.00 malam Sabtu ini.