Declan Lambert akui fokus terhadap Piala AFC jadi punca persembahan hambar KL City FC dalam liga

401

Pemain KL City FC, Declan lambert mengakui para pemain sudah memberikan fokus untuk perlawanan akhir Piala AFC sebelum Liga Super tamat lagi.

Beliau merasakan bahawa mungkin disebabkan itu persembahan mereka dalam liga pada beberapa perlawanan terakhir tidak begitu memberangsangkan.


“Secara peribadi ketika perlawanan terakhir liga menentang menentang PJ City FC saya sudah fikirkan tentang perlawanan akhir Piala AFC.

Saya rasa pemain lain juga sama kerana jika anda cedera sebelum aksi akhir sudah tentu anda akan rasa menyesal,” katanya.

Beliau berkata, menentang pasukan Al-Seeb akan menjadi satu cabaran buat para pemain kerana pasukan dari timur tengah mempunyai sejarah yang baik dalam kejohanan itu.

Menurutnya, antara kekuatan pasukan itu adalah mereka mempunyai pemain yang mempunyai skil individu yang tinggi.

“Pemain mereka mempunyai skil yang tinggi jadi ia pasti sukar bertahan dalam situasi satu lawan satu tetapi saya berharap kami dapat fokus sebagai satu pasukan seperti yang kami lakukan pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.

Beliau juga berkata bahawa para pemain perlu berhati-hati dalam melakukan bentesan memandangkan teknologi VAR digunakan pada perlawanan itu.

Dalam pada itu, Lambert berkata bahawa musim pertamanya di Malaysia adalah satu musim yang baik selepas berjaya mara ke perlawanan akhir Piala AFC dan juga melakukan debut bersama skuad kebangsaan.

Beliau mengakui pada permulaan musim, persembahannya agak kurang memuaskan kerana tidak mempunyai kecergasan gara-gara jarang diturunkan di kelab lamanya.