Benarkah dakwaan Mat Don Liga Thailand lebih berkualiti dari Liga Malaysia?

3,577

Baru-baru ini pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi telah membuat satu kenyataan media dengan berkata Liga Thailand lebih berkualiti berbanding Liga Malaysia.

Kenyataan Liridon kepada SNE Sports atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don mendapat pelbagai reaksi daripada peminat bola sepak tanah air yang mana ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju.


Mat Don kini beraksi di Thai League 1 bersama kelab Khon Kaen United di mana kelab itu menduduki tangga ke-14 liga selepas sembilan perlawanan dengan hanya satu kemenangan.

Kenyataan yang dibuat oleh Mat Don itu ada benar dan tidak kerana memang tidak dapat dinafikan dahulu sememangnya kualiti Liga Malaysia jauh ketinggalan dengan liga di Thailand, namun kini semuanya sudah berubah.

Liga Malaysia yang sebelum ini sering dipandang rendah kini Liga Malaysia berada di ranking No.1 di Asia Tenggara dan No.4 di Asia Timur.

Di rantau Asia Tenggara, Liga Thailand berada di tangga kedua manakala tangga keenam di Asia Timur, dan ini secara jelas memperlihatkan kualiti Liga Malaysia sudah meningkat mendadak meninggalkan liga negara jiran.

Dalam kenyataan Mat Don, beliau memberitahu perbezaan ketara antara liga utama di dua negara itu adalah dari segi intensiti permainan dan profesional.

Ya tidak dinafikan bahawa permainan di Liga Thailand berintensiti tinggi, tetapi di Liga Malaysia juga banyak pasukan yang sudah mula menggunakan taktikal permainan berintensiti tinggi antaranya juara Piala AFC dan juara sembilan kali Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC dan beberapa pasukan lagi.

Tahun 2022 juga menyaksikan kelab dari Liga Malaysia memperlihatkan kebangkitan luar biasa di pentas Asia apabila dua kelab beraksi dalam saingan Piala AFC iaitu Kedah Darul Aman FC (KDA) dan KL City FC, manakala JDT pula beraksi di AFC Champions League (ACL).

KDA yang tampil dalam saingan Piala AFC musim ini dengan hampir keseluruhan pemain baru dan muda berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Zon Asia Tenggara, manakala KL City pula mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke perlawanan akhir Piala AFC yang akan berlangsung pada 22 Oktober ini menentang Al-Seeb.

JDT juga turut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya layak ke pusingan 16 ACL selepas bergelar juara kumpulan apabila mengenepikan kelab-kelab besar seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai, Guangzhou.

Tetapi satu perkara yang disebut oleh Mat Don iaitu lebih profesional memang diakui benar kerana di Liga Malaysia sedang ke arah itu dan dijangka lagi setahun dua Liga Malaysia akan menjadi profesional sepenuhnya.

Terdahulu Mat Don mula mencipta nama dalam Liga Malaysia ketika bersama pasukan Kedah dibawah kendalian Tan Cheng Hoe.

Beliau ketika itu dilabel sebagai artikel paling berbahaya dengan corak permainan bijak dan fancy, namun setelah berhijrah Melaka United FC dan JDT prestasinya turun dengan mendadak dan akhirnya beliau dipinjamkan ke beberapa kelab di Newcastle Jets dan Odisha kerana gagal mendapat tempat di JDT.

Mat Don yang juga pemain skuad kebangsaan pernah dipanggil untuk menyertai kem latihan negara di bawah kendalian Kim Pan-gon baru-baru ini untuk kelayakan Piala Asia 2023, namun namanya diguggurkan dari menyarung jersi Harimau Malaya.