Cosmos Dauda enggan terlalu memikirkan KL City FC sebaliknya hanya fokus pada pasukannya

674

Penyerang Al-Seeb, Cosmos Dauda memberitahu beliau dan rakan sepasukan enggan terlalu memikirkan mengenai pihak lawan (KL City FC) sebaliknya mahu fokus pada persiapan pasukan bagi menghadapi perlawanan akhir Piala AFC pada Sabtu ini.

Menurut Cosmos, walaupun di atas kertas pasukannya menjadi pilihan namun ia tidak bermakna mereka akan ambil mudah sebaliknya akan mempamerkan aksi terbaik mereka nanti.


“Setakat ini persiapan pasukan kami berada pada tahap terbaik dan berjalan dengan lancar. Kami ada membuat analisis mengenai pihak lawan dan kami serahkan kepada barisan kejurulatihan teknikal untuk membuat percaturan.

Bola sepak perlu dimainkan 90 minit. Memang mudah untuk bercakap dari melakukannya. Saya yakin perlawanan akan menjadi sangat menarik. Saya juga percaya kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menang, jadi kami akan pamerkan aksi terbaik pada perlawanan akhir nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pemain berasal dari Ghana itu juga berkata beliau dan rakan sepasukan tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di Malaysia kerana sudah biasa dengan keadaan cuaca panas di negara Oman.

Dalam pada itu, Dauda juga berkata barisan kejurulatihannya sudah bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti.

“Bagi saya persiapan sangat penting dan kita perlu bersedia untuk berdepan apa sahaja situasi sepanjang perlawanan berlangsung. Saya percaya kami akan memberikan aksi terbaik nanti dan akan cuba tidak mengheret ke penentuan penalti.”

Al-Seeb akan menentang KL City dalam perlawanan akhir Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 Oktober pukul 7.00pm.