Saya tak perlu beri motivasi pada pemain sebaliknya saya perlu pastikan pemain tidak terlalu teruja – Bojan Hodak
Ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak memberitahu tempoh seminggu ini adalah tempoh yang cukup mudah buatnya sebagai jurulatih kerana tidak perlu memberi motivasi pemain menjelang perlawanan akhir Piala AFC esok.
Menurut Hodak, pemain-pemainnya sangat bermotivasi kerana setiap pemain mahu turun beraksi.
“Sejujurnya tempoh seminggu ini sangat mudah untuk saya kerana saya tidak perlu beri motivasi pada pemain kerana mereka sendiri sudah bermotivasi tinggi dan setiap pemain mahu turun beraksi dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun saya perlu cuba menenangkan mereka supaya tidak terlalu teruja kerana bimbang mereka akan buat kesilapan mudah sehingga diberikan kad. Saya hanya perlu fokus pada taktikal sahaja,”
katanya.
Beliau pada masa sama berkata bermain di tempat sendiri tidak memberi mereka kelebihan, sebaliknya pihak lawan mempunyai kelebihan kerana Al-Seeb adalah sebuah pasukan yang cukup berkualiti.
Tambahnya lagi, pasukan itu mempunyai lima ke enam pemain kebangsaan Oman dan jika dilihat dari ranking antara kedua-dua negara itu, ranking Malaysia ternyata jauh ketinggalan.
Dalam pada itu, ketua pasukan KL City, Paulo Josue pula berkata beliau berasa sangat bangga sepanjang bersama skuad The City Boys dan akan cuba terus pamer aksi terbaik supaya dapat bantu pasukan cipta kejayaan.
“Ia satu perjalanan yang cukup panjang buat saya dan saya sangat bangga dapat bersama pasukan ini.
“Seperti yang jurulatih beritahu mengenai motivasi, kami perlu bertenang pada perlawanan nanti kerana tidak mahu buat kesilapan mudah yang akan merugikan kami. Kami akan beri persembahan 100% dan cuba membawa pulang kejuaraan ini untuk Malaysia.”
Josue mengakui Al-Seeb mempunyai pemain-pemain yang cukup berkualiti dan berbahaya, namun beliau menyuarakan keyakinan terhadap kemampuan rakan sepasukannya.
Tambahnya lagi, kesemua pemain akan bermain dalam satu unit dan akan cuba mengekang segala asakan bagi menghalang pihak lawan menjaringkan gol dan jika berjaya berbuat demikian ia akan memberi motivasi tambahan kepada mereka.
KL City akan menentang Al-Seeb dalam perlawanan akhir Piala AFC yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil esok 22 Oktober pada pukul 7.00pm.