Fabrizio Romano ‘check-in’ di Petaling Jaya, mahu saksikan perlawanan Piala AFC esok?

2,672

Siapa saja yang tidak kenal dengan wartawan bola sepak terkemuka yang berasal dari Itali, Fabrizio Romano.

Laporan serta kemas kini perpindahan daripadanya sering dinantikan oleh seluruh peminat bola sepak dunia kerana boleh dikatakan setiap apa yang dilaporkannya pasti terjadi.


Sebentar tadi, kecoh dalam kalangan peminat bola sepak tempatan mengenai wartawan berusia 29 tahun itu kerana dikatakan berada di Malaysia.

Ia berikutan hantaran yang dibuatnya mengenai pemecatan pengurus Aston Villa, Steven Gerrard memaparkan lokasi beliau di Petaling Jaya.

Namun setakat ini tiada sesiapa yang tampil mengatakan bahawa mereka terserempak atau terlihat Romano di sekitar kawasan itu.

Tidak mustahil juga sekiranya memang ada di Malaysia untuk urusan tertentu seperti menonton bola sepak, kerana diketahui perlawanan akhir Piala AFC akan berlangsung esok.

Atau mungkin juga bertemu rakan-rakan wartawan yang berada di negara ini.

Beliau ketika ini sedang tercalon dalam kategori wartawan bola sepak terbaik pada anugerah Dubai Globe Soccer.

Terdahulu, wartawan sukan dari Malaysia, Ahmad Khawari Isa telah dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) bagi penggal 2022-2026.

Beliau yang juga bekas presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) dan wartawan Astro Arena dipilih menerusi kongres tahunan kali ke-26 yang diadakan di Rom, Itali, negara kelahiran Romano awal bulan ini. Mungkinkah mereka pernah bertemu sebelum ini?

Apa-apa pun, ia semestinya satu perkara yang membanggakan buat wakil wartawan dari negara ini yang diberi tanggungjawab menggalas tugas tersebut.