Terima sokongan penuh FIFA dan PSSI, Iwan Bule dilihat akan terus terajui bola sepak Indonesia walaupun ditekan hebat

154

Sudah hampir sebulan tragedi berdarah yang mengorbankan nyawa 133 penyokong bola sepak di Stadium Kanjuruhan, Indonesia berlaku dan negara jiran itu masih berduka sehingga ke hari ini.

Liga bola sepak di negara itu sehingga kini masih lagi dan hanya akan bersambung semula pada November selepas siasatan sudah lengkap.


Menurut siasatan yang dilakukan, penggunaan gas pemedih mata oleh pihak berkuasa merupakan punca berlakunya kejadian itu.

Walaupun siasatan sudah dilengkapkan dan punca serta pihak yang bertanggungjawab sudah dikenal pasti, terdapat sebilangan pihak yang masih tidak berpuas hati dengan presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Mochamad Iriawan yang lebih dikenali sebagai Iwan Bule.

Mereka menganggap bahawa sebagai presiden badan induk bola sepak di negara itu, beliau harus bertanggungjawab dan meletak jawatan daripada persatuan itu.

Pasukan penyiasat bebas (TGIPF) tragedi Kanjuruhan juga sebelum ini turut mendesak beliau dan jawatankuasa eksekutif PSSI untuk meletak jawatan.

Beliau makin membangkitkan kemarahan ramai selepas mengadakan perlawanan bola sepak ‘fun football’ bersama presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino yang mengadakan lawatan ke negara itu.

Walaupun menerima tekanan daripada pelbagai pihak, kedudukan Iwan Bule nampaknya tidak terancam kerana masih menerima sokongan padu bukan sahaja daripada PSSI tetapi juga FIFA.

Jurucakap PSSI, Achmad Riyadh juga berkata bahawa Iwan Bule tidak perlu berundur dan orang kuat dalam PSSI tiada yang mahukan beliau berundur.

Beliau juga menganggap bahawa Iwan Bule sudah melakukan apa yang termampu untuk bertanggungjawab terhadap tragedi itu justeru kedudukannya tidak perlu dipersoalkan.

Dalam pada itu, dalam rangka kerjanya ke Indonesia, Infantino juga turut memberikan sokongan terus kepada PSSI dan bola sepak Indonesia.

Ini menunjukkan bahawa kuasa-kuasa besar dalam dunia bola sepak antarabangsa dan juga Indonesia memberi sokongan penuh kepada Iwan Bule untuk terus menerajui PSSI.

Di mata keluarga mangsa serta mangsa yang terlibat, mungkin Iwan Bule adalah antagonis dalam tragedi tersebut.

Namun siasatan telah dilakukan dan hukuman juga telah ditetapkan, jadi biarlah pihak berkuasa yang menentukan.

Diharapkan, insiden ini tidak menjatuhkan bola sepak Indonesia dan tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.