Filosofi jurulatih dari Korea Selatan mudah difahami oleh pemain rantau ASEAN – Shahrom Kalam

337

Bekas pertahanan negara, Shahrom Kalam melihat jurulatih dari Korea Selatan memiliki kelebihan tersendiri yang membuatkan mereka sering dipilih mengendalikan pasukan-pasukan kebangsaan di rantau Asia Tenggara.

Ini termasuk dengan kemasukan Kim Pan-gon yang telah berjaya mengubah pasukan Harimau Malaya mencapai kejayaan demi kejayaan.


Hal yang sama turut dapat dilihat kepada beberapa pasukan seperti Indonesia dan Vietnam yang semakin cemerlang di pentas Asia.

“Jurulatih Korea Selatan memiliki filosofi dan pendekatan permainan yang mudah difahami dan itu menjadi sebab mengapa mereka dipilih untuk membawa pasukan serantau,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, beliau teruja melihat peningkatan jumlah pemain berkualiti yang sedia menggalas tanggungjawab menyarung jersi kebangsaan.

Shahrom percaya mana-mana pemain yang bakal dipanggil selepas ini mampu memberikan aksi yang terbaik untuk pasukan negara.

“Kita kini memiliki pool of player yang semakin besar.

Saya percaya ini adalah masa terbaik untuk memberi peluang kepada pemain-pemain ini untuk buktikan kemampuan mereka.”

Pada masa yang sama, beliau juga turut berbangga dengan kejayaan pasukan KL City FC mara ke final Piala AFC tahun ini dan menganggap kelebihan pasukan tersebut buat masa ini terletak pada kehadiran ketua jurulatih dari Croatia, Bojan Hodak yang cukup terkenal dengan kepakaran taktikalnya.

Terdahulu, Shahrom yang juga berasal dari ibu kota pernah beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur pada permulaan kariernya sebelum berhijrah ke beberapa pasukan ternama seperti Perak FC dan Selangor FC yang terus menjulang nama beliau di saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Setiap pasukan pasti akan ada jatuh naik mereka sendiri begitu juga KL City tetapi kelebihan pasukan ini berjaya mencapai kejayaan demi kejayaan ini adalah terletak pada adanya Bojan Hodak.

Bojan ada suatu sentuhan ‘magic’ yang berjaya membawa pasukan pergi lebih jauh.”

Beliau hadir di majlis Jelajah Trofi Piala AFF 2022 bersama beberapa bekas pemain negara seperti Mahali Jasuli dan Norshahrul Idlan Talaha untuk sama-sama berkongsi pengalaman sewaktu bertanding di kejohanan tersebut sebelum ini.

Shahrom merupakan salah seorang pemain yang telah mewakili skuad negara di Piala AFF 2016 dahulu bersama pemain seperti Shahrul Saad dan Baddrol Bakhtiar.