Zhafri Yahya kecewa kecundang 3-0 di final Piala AFC, tekad bangkit di Piala Malaysia
Pemain sayap Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yaya gagal menyembunyikan kesedihannya selepas gagal membawa pasukannya menjulang trofi Piala AFC tahun ini selepas tewas di tangan wakil Oman, Al-Seeb.
Lebih menyedihkan, pasukan ibu kota ini terpaksa akur dengan kualiti permainan yang ditunjukkan oleh para pemain pasukan lawan meskipun beraksi di atas permukaan padang yang basah ekoran hujan yang turun sepanjang perlawanan berlangsung.
“Sudah semestinya kecewa, bila sudah sampai ke final sudah pasti kita hendak menjadi juara.
Kekalahan 3-0 ini agak besar buat kami, saya kecewa dengan keputusan,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada awal perlawanan, KL City tampak bermula garang dengan beberapa percubaan yang berjaya dilakukan serta kemampuan mereka mendominasi perlawanan terlebih dahulu.
Namun, segalanya berubah selepas pasukan Al-Seeb membuka akaun jaringan pertama mereka menerusi sepakan penjuru pada minit ke-22.
Zhafri berjaya menemui beberapa peluang di hadapan gawang gol lawan namun gagal memanfaatkan situasi tersebut untuk memberi sekurang-kurangnya satu gol cenderahati buat KL City.
“Bagi saya bukan rezeki kami pada malam ini, kita ada dua tiga peluang yang seharusnya dijaringkan tapi mungkin rezeki tidak menyebelahi.
Al Seeb ada dua tiga peluang dan mereka jaringkan gol, mungkin malam ini bukan malam kami.”
Zhafri beraksi cemerlang sepanjang perlawanan ini sebelum beliau dikeluarkan pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk membawa masuk Kenny Pallraj.
Walau bagaimanapun, Zhafri berharap rakan sepasukannya tidak terus kecewa terlalu lama tatkala mereka perlu menempuhi cabaran baru di saingan Piala Malaysia selepas ini.
“Untuk Piala Malaysia, kita akan lakukan permainan yang baru.
Kita akan lupakan Piala AFC dan fokus kepada Piala Malaysia selepas ini.”
Semestinya mereka ingin mengulang kembali kejayaan yang berjaya diraih selaku juara Piala Malaysia pada tahun 2021.
Ketua jurulatih, Bojan Hodak perlu segera memastikan anak buahnya terus bersedia bagi menghadapi perlawanan Piala Malaysia yang bakal bermula kurang seminggu dari sekarang.
“Kita ada sejarah yang baik di dalam Piala Malaysia, Coach Bojan mesti ada perancangan yang baik.
Kita akan ikut perancangan tersebut dan harap rezeki memihak kepada kita di Piala Malaysia selepas ini.”
Berdasarkan undian, KL City akan memulakan kempen Piala Malaysia berdepan pasukan PDRM FC pada perlawanan yang dijadual berlangsung pada 27 Oktober ini di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.