Akademi Villarreal Malaysia mahu naikkan standard bola sepak akar umbi negara

1,106

Tidak dapat dinafikan akademi bola sepak di Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Klang kini semakin banyak seperti ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ dan ini memberi peluang kepada pemain muda yang berminat bermain bola sepak mendapat pendedahan awal.

Antara akademi bola sepak swasta yang kini menjadi perhatian adalah Akademi Villarreal Malaysia yang baru sahaja mula beroperasi secara rasmi Ogos lalu yang mana ia akan membuka pintu kepada semua bakat muda dari usia tiga tahun hingga 21 tahun.


Bagi peminat bola sepak Eropah, Villarreal CF adalah sebuah kelab gergasi di Sepanyol dan terkenal dengan melahirkan ramai pemain berkualiti dunia.

Menurut Pengarah Urusan Akademi Villarreal Malaysia, Jonathan Abishegam, objektif akademi itu adalah mahu membantu meningkatkan standard bola sepak akar umbi negara.

“Objektif kerjasama ini adalah meningkatkan pembangunan bola sepak akar umbi. Kami rasa kami ada tanggungjawab untuk berbuat demikian. Dengan wujudnya Akademi Villarreal ini kami mahu meningkatkan standard pembangunan akar umbi negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Jonathan lagi, beliau percaya dengan metodologi dan pengetahuan yang beliau dan barisan kejurulatihan akademi pelajari daripada Villarreal ditambah dengan fasiliti menakjubkan yang mereka ada menjadikan pemain mereka berbeza.

Jelasnya lagi, idea untuk menjadikan Villarreal sebagai rakan kongsi dicetuskan oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Villarreal Malaysia iaitu mendiang Massiomo Giannelli apabila mendapati kelab tersebut mempunyai strategi yang jelas untuk pembangunan bola sepak akar umbi.

Tambahnya lagi, bagi memastikan Akademi Villarreal Malaysia dapat melahirkan ramai pemain berkualiti, mereka telah melantik kira-kira 20 jurulatih yang cukup berpengalaman dari dalam dan luar negara.

Barisan kejurulatihan di akademi tersebut antara yang terbaik apabila mereka mempunyai lebih tiga jurulatih yang mempunyai Lesen A dan selebihnya Lesen B dan Lesen C.

Akademi Villarreal Malaysia mempunyai dua program iaitu sekolah bola sepak dan akademi.

“Di sini kami mempunyai dua program iaitu sekolah bola sepak dan akademi. Untuk sekolah bola sepak ia terbuka kepada semua kanak-kanak yang ingin belajar bola sepak dan kami akan bantu mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka.

Jadi dari program ini kami akan memilih pemain-pemain terbaik untuk diserap ke dalam prgram akademi yang mana mereka akan bersaing dalam saingan liga kompetitif seperti Liga Suparimau dan Liga Milo dan juga kejohanan lain.”

Beliau juga berkata pemain di Akademi Villarreal turut mempunyai peluang untuk bermain di Eropah berikutan setiap tahun mereka akan memilih dua sehingga lima pemain untuk dihantar ke Sepanyol untuk beraksi bersama akademi induk Villarreal.

Dalam pada itu, Jonathan juga mendedahkan bahawa mereka terpaksa melepaskan beberapa pemain mereka untuk ke Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Buat masa ini itu adalah jalan terbaik untuk pemain kami sebab kami tidak mempunyai platform seperti mereka. Jadi bagaimana kami mahu hentikan pemain keluar dari akademi ini adalah menyediakan platform sama.

Objektif utama mendiang Massimo untuk menaik taraf akademi ini supaya mempunyai kelab profesional supaya pemain dari akademi dapat diserap ke kelab ini.”

Jonathan pada masa sama turut terbuka untuk bekerjasama dengan akademi bola sepak lain tetapi berharap agar pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Malaysian Football League (MFL) dapat memperkenalkan Program Pampasan Pemain Pembangunan atau Yuran Pembangunan seperti di Eropah.

“Saya berharap agar FAM dan MFL dapat memperkenalkan compensation program seperti di Eropah yang mana akademi akan mendapat pampasan atau yuran pembangunan sekiranya ada kelab mengambil pemain dari akademi.”

Oleh itu beliau berharap cadangan ini akan dipertimbang dan diperkenalkan pada masa hadapan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen